PASUKAN kebangsaan Harimau Malaya berpeluang mengasah taji berdepan negara di ranking Fifa lebih baik khususnya menghadapi Piala Asia 2024.

Ia selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menghadiri Kongres Fifa ke-73 pertamanya sebagai Ahli Majlis Fifa di Kigali, bertemu beberapa akan sejawatan disana.

“Dalam pertemuan ini kita membincangkan potensi kerjasama dua hala terutama buat pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara antaranya Fiji, Montenegro, Cyprus, Sierra Leon dan Rwanda.

“Kita juga membincangkan secara terperinci dengan UAE, Arab Saudi, Qatar, Jepun dan Republik Korea mengenai pemain negara yang dilihat berkualiti dan berminat untuk dihantar bermain dengan liga negara terbabit,” kata Hamidin.

 

Sepanjang tempoh itu, Hamidin berkesempatan berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu Sheikh Rashid Al Nuaimi; Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi, Yasser Al Misehal; Presiden Persatuan Bolasepak Jepun, Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bolasepak Montenegro, Dejan Savicevic; Presiden Persatuan Bolasepak Cyprus, George Koumas dan Presiden Persatuan Bolasepak Fiji, Rajesh Patel.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Qatar, Mansour al-Ansari dan Ahli Majlis Fifa dari CAF yang juga ahli Lembaga Pengarah Yayasan Fifa, Isha Johansen antara yang ditemui beliau.

Hamidin turut mengucapkan tahniah kepada Infantino atas pelantikannya sebagai Presiden Fifa.

 

Kongres Fifa di Kigali turut menyaksikan Gianni Infantino dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden untuk empat tahun lagi.

“Sokongan dan komitmen beliau kepada bola sepak Asia, Asean khususnya amat dihargai dan beliau sememangnya layak untuk terus memimpin Fifa,” katanya.

Turut mengiringi Hamidin sepanjang di Rwanda ialah Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan dua exco FAM, Datuk Adly Shah Ahmad Tah serta Syed Yazid Syed Omar.