JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus melebarkan sayap selaku pasukan terkuat dalam Liga Malaysia apabila berjaya mengalahkan Selangor FC 4-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

JDT dilihat lebih ampuh melancarkan beberapa serangan merbahaya dari Arif Aiman yang mempunyai peluang terbuka menewaskan penjaga gol Selangor FC pada minit ke-16 namun rembatannya tinggi melepasi palang gol.

Minit ke-21, giliran Forestieri pula mengancam kubu Selangor namun percubaannya turut tersasar.

Biarpun Selangor FC kelihatan sukar menembusi benteng pertahanan Johor Darul Ta’zim, namun Gergasi Merah hampir memecah kebuntuan apabila Ayron Del Valle melorongkan bola kemas kepada Mohamad Faisal Abdul Halim namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol Harimau Selatan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Bermulanya babak kedua, Juan Muniz Gallego akhirnya berjaya meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-55 setelah mudah menolak bola ke dalam jaring menewaskan penjaga gol Selangor FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Gol tersebut jelas menyuntik semangat JDT dengan jaringan Diogo Luis Santo pada minit ke-66 sekali gus menyaksikan Harimau Selatan selesa 2-0 di hadapan.

Selang 11 minit , JDT terus menggandakan asakan dengan Forestieri bijak menterjemahkan hantaran dari pemain tempatan paling bernilai JDT, Arif Aiman Hanapi sekaligus mendahului 3-0.

Forestieri sekali lagi menjadi duri dalam daging Gergasi Merah apabila menolak masuk gol keempat pelawat sekaligus berpesta dengan jaringan 4-0 di Kelana Jaya.