JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) terpaksa bekerja keras untuk bangkit selepas ketinggalan sebelum seri 2-2 dengan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.
Turun dengan barisan yang sama ketika menewaskan Sarawak United, anak buah Benjamin Mora menguasai sepenuhnya permainan pada peringkat awal sebelum dikejutkan pada 10 minit sebelum tamat babak pertama.
Bergson berjaya memberikan kelebihan awal kepada JDT dengan jaringan cantik selepas menerima umpanan baik dari Fernando Forestieri untuk gol kelapan beliau dalam liga.
Sri Pahang terpaksa melakukan perubahan apabila David Rowley mengalami kecederaan dan pemain gantian Saiful Jamaluddin berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38.
Berselang empat minit, JDT ketinggalan buat pertama kali dalam liga musim ini apabila Shahrul Saad menghadiahkan sepakan penalti kepada Sri Pahang yang mudah disempurnakan Manuel Hidalgo.
JDT menggandakan asakan sejak dari awal babak kedua untuk mencari gol penyamaan dengan memasukkan Moussa Sidibe bagi memantapkan lagi bahagian serangan.
Namun begitu barisan pertahanan Sri Pahang dilihat begitu berdisiplin bertahan di tambah persembahan cemerlang penjaga gol, Mamadou Samassa yang sering serangan JDT.
Namun aksi cemerlang mereka dinafikan pada minit ke-88 apabila JDT dihadiahkan penalti dan berjaya disempurnakan oleh Bergson untuk gol penyamaan JDT dan kedua peribadinya.
Enam minit tambahan masa gagal memisahkan kedua-dua pasukan untuk masing-masing berpuas hati dengan satu mata. JDT kekal di tangga teratas dengan 16 mata manakala Sri Pahang di tangga kelapan dengan lapan mata.
Pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel nyata gembira dan bangga dengan apa yang ditunjukkan oleh para pemainnya dan memuji segala usaha yang telah mereka lakukan.
“Saya bangga dengan persembahan pemain-pemain saya dan kami hanya dipisahkan dengan tiga minit sahaja untuk kejayaan yang lebih gemilang,” kata Gamel selepas perlawanan.
Sementara itu, Mora pula mengakui mereka mempunyai masalah di barisan tengah dan turut memuji persembahan yang ditunjukkan oleh Sri Pahang.
“Ianya adalah perlawanan yang sukar. Kami mempunyai masalah di barisan tengah pada babak pertama. Pahang menunjukkan permainan yang cukup baik dan tahniah kepada mereka.”