KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyatakan kemenangan yang diraih berpunca dari karakter pemain mereka yang sangat positif dan inginkan kemenangan.
Selain faktor karakter yang hebat, pemain Harimau Selatan juga kreatif mencipta peluang dan berhasil mendapat empat jaringan di separuh masa kedua.
“Saya sangat gembira untuk pemain saya kerana mereka ada karakter. Saya suka karakter mereka. Kita ada kebolehan dan kekuatan. Saya sangat gembira dengan persembahan mereka.
“Pemain lebih kreatif pada separuh masa kedua. Pada separuh masa kedua, kita bertahan lebih baik. Kita juga lebih efektif dan berjaya mendapatkan gol sekali gus mendapat keputusan yang bagus,” jelasnya.
Dalam pada itu, Solari juga berpuas hati dengan sumbangan pemain muda dan import yang dimiliki pasukan Harimau Selatan yang disifatkan memberikan corak persembahan yang dimahukan pasukan.
“Saya sangat gembira dengan pemain kami dan pemain muda yang ada. Mereka adalah masa hadapan buat pasukan JDT. Saya selalu mahukan mereka menjadi pasukan yang semakin kompak dan hebat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menegaskan punca kekalahan pasukannya adalah disebabkan pertukaran yang dilakukan dengan memasukkan Ahmad Khuzaimi Piee menggantikan Yazan Al-Arab.
“Satu atau dua pertukaran menyebabkan kita dibolosi. Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa saya tukar Yazan tetapi kalau lihat saya ada empat atau tiga pertahanan yang mendapat layangan kad kuning.
“Itu sebab saya terpaksa menukar Jimmy untuk menggantikan Yazan dan kita ada bawa Orozco untuk kita cuba buat jaringan,” ujarnya.
Mengulas sebab Faisal Halim dikeluarkan pada separuh masa kedua, dia menyatakan bahawa kekejangan otot yang menimpa pemain cilik itu menyebabkan dia terpaksa dikeluarkan.
“Faisal Halim ada sedikit kekejangan otot. Tentunya otot, dia juga minta dikeluarkan. Memang kita pun tidak mahu ambil risiko untuk musim yang panjang lagi. Setiap kecederaan merumitkan pasukan. Itu sebab kita tukar dia,” ulasnya.