KELANTAN FC mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan 2-0 untuk mengikat Kuala Lumpur City FC 2-2 sekaligus menafikan kemenangan pertama skuad warga kota dalam Liga Super.
Anak-anak buah Choi Moon Sik yang bermain dihadapan ribuan penyokong sendiri nyata gugup pada permulaan perlawanan apabila diasak hebat pemain serangan KL City.
Akhirnya mereka dibolosi pada minit ke-11 apabila Tchetche Kipre membuka akaun jaringannya bersama KL City sebelum Declan Lambert menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-34.
LIGA SUPER 2023
FT: Kelantan FC 2-2 Kuala Lumpur City FC
⚽ Kenny Palraj 41' (GS), Fazrul Amir 45'+2
⚽ Tchetche Kipre 11', Declan Lambert 34'#LigaSuper2023#GomoKelateGomo#SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/CwyOULVfKe— Flash Sukan (@FlashSukan) March 17, 2023
Ketinggalan dua gol nyata tidak mematahkan semangat pemain Kelantan dengan melakukan tekanan berterusan ke pertahanan KL City dan ianya membuahkan hasil apabila Kenny Palraj tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-41.
Gol itu nyata membakar kemahuan para pemain The Red Warriors untuk mencari gol penyamaan dan akhirnya Fazrul Amir berjaya menyamakan kedudukan di saat-saat akhir babak pertama.
Tidak banyak perubahan berlaku pada babak kedua dengan KL City cuba untuk kembali mendahului namun hampa dengan penyudah yang kurang menyengat manakala Kelantan pula kental bertahan.
Keputusan seri itu menyaksikan KL City masih buntu untuk mencari kemenangan pertama selepas empat perlawanan dan kini di tangga ke-11 dengan tiga mata hasil tiga keputusan seri dan satu kekalahan.
Manakala Kelantan FC pula menghuni kedudukan ke-10 dengan empat mata selepas mencatatkan satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan selepas lima perlawanan.