PDRM FC berjaya mencatat kemenangan kedua dalam Liga Super selepas menewaskan pasukan Kelantan United FC 2-0 dalam aksi yang berlangsung dalam keadaan hujan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu.
Selepas mengejutkan Kedah di Darul Aman sebelum tewas semula kepada Terengganu, PDRM menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk menghukum kealpaan barisan pertahanan Kelantan United sekaligus tiga mata tambahan menjadi milik mereka.
Dzulfahmi Hadi dan Uche Agba masing-masing membuka akaun jaringan dengan kelab apabila menyumbang gol pada minit ke-10 dan 38 untuk selesa dengan kelebihan dua gol di babak pertama.
LIGA SUPER 2023
FT: PDRM FC 2-0 Kelantan United FC
⚽ Dzulfahmi Hadi 10', Uche Agba 38' (P)#LigaSuper2023#SangSakaBiru#KelantanFC pic.twitter.com/4GrBZSr69s
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 18, 2023
Babak kedua menyaksikan Kelantan United menyerang bertubi-tubi kubu PDRM namun Sang Saka Biru kental bertahan seperti Unit Simpanan Persekutuan bagi memastikan mereka mencatat ‘clean sheet’ ketiga dalam lima perlawanan.
Pengendali PDRM Azzmi Aziz nyata gembira dengan progres yang ditunjukkan pasukannya dan juga kerana berjaya menjaringkan gol selepas mengalami masalah menyempurnakan peluang pada perlawanan sebelum ini.
Dia juga menganggap gol awal serta mendahului dua jaringan pada babak pertama menjadikan mereka bermain lebih tenang meskipun terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan dan akan menggunakan tempoh rehat hampir dua minggu ini untuk memperbaiki pasukan menjelang aksi dengan Kuching City FC.
Sementara itu Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Thomas Trucha pula marah dan kecewa kerana kesilapan pemainnya memberikan gol kepada PDRM ditambah keadaan padang yang kurang baik serta rasa tidak tenang para pemain di depan gol.
Trucha juga mahu mencari di mana kelemahan yang ada dalam pasukannya dan melakukan beberapa perubahan kerana mereka tidak boleh melakukan perkara yang sama jika ingin mendapatkan keputusan positif selepas ini.
Kemenangan ini meletakkan PDRM kini di tangga keenam dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri serta dua kekalahan manakala Kelantan United pula kekal di tangga terbawah liga dengan hanya satu mata.