SKUAD bola sepak pantai kebangsaan gagal mengulangi pencapaian layak ke suku akhir pada edisi 2019 selepas tewas 3-5 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua Kumpulan B, Kejuaraan Piala Asia Bola Sepak Pantai AFC 2023 di Jomtien Beach Arena, Pattaya.
Meskipun tewas dan gagal ke suku akhir, jurulatih negara, Mohd Saiful Md Noor tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang menunjukkan aksi terbaik dan berjaya menyaingi naib juara edisi 2019 itu.
Saiful juga mahu pemainnya terus fokus kepada aksi seterusnya menentang Uzbekistan pada Isnin kerana kemenangan akan menjamin kedudukan tempat ketiga dalam kumpulan sekali gus membawa pulang satu kemenangan.
Keputusan Masa Penuh
Hari Perlawanan 2 AFC Beach Soccer Asian Cup Thailand 2023 | Sabtu, 18 Mac 2023
MALAYSIA 🇲🇾 3-5 🇦🇪 UAE
⚽ Ali 5' 27' Salem 8' Waleed 20' Abdulla 31'
⚽️ Mohamad Norazman 25'Muhammad Hafizam 27' Hasrol Ali 33' #FAM #HarimauMalaya #ACBeachSoccer pic.twitter.com/BaOJFUomhA— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 18, 2023
“Pemain bermain baik hari ini tetapi kami gagal untuk menjaringkan gol pada suku pertama dan kedua, hanya berjaya jaringkan gol pada suku ketiga. Saya memotivasikan pemain dengan memberitahu mereka bahawa perlawanan belum tamat dan mereka perlu terus menekan lawan jika mahu layak ke suku akhir.
“Meskipun tewas, kini kami mahu fokus untuk memungut tiga mata apabila menentang Uzbekistan untuk sekurang-kurangnya mendapat tempat ketiga dalam kumpulan kerana pasukan itu boleh dikira setaraf dengan kami dan siapa mampu menjaringkan gol lebih awal akan muncul sebagai pemenang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Sebelum ini Malaysia tewas 14-5 kepada Iran dan kini berpeluang menduduki tempat ketiga kumpulan jika mampu menundukkan Uzbekistan yang juga sudah tersingkir dari kejohanan dwi tahunan ini selepas tewas kepada UAE 4-0 dan Iran 11-2.
Selain Malaysia, dua lagi pasukan Asia Tenggara, tuan rumah Thailand dan Indonesia turut bersaing dengan dua finalis akan layak ke Piala Dunia Bola Sepak Pantai FIFA di UAE pada November 2023.