BADANG negara Mohamad Aniq Kasdan dan atlet boling padang wanita negara Nur Ain Nabilah Tarmizi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2022.

Mereka membawa pulang sijil, trofi, piala pusingan, piala iringan serta wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar pada Majlis Anugerah Sukan UiTM di Shah Alam pada Sabtu

Mohamad Aniq, 21, mencipta nama di persada antarabangsa selepas meraih pingat emas dalam acara angkat berat di temasya Sukan Komanwel di Birmingham pada Julai 2022.

Nur Ain Nabilah, 25, pula menggondol pingat perak bersama skuad trio boling padang negara yang dibarisi Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad di temasya sama.

Majlis Anugerah Sukan UiTM 2022 memberi pengiktirafan kepada atlet dan pegawai sukan yang mempamerkan kecemerlangan dalam bidang itu menerusi 15 kategori anugerah.

Antara yang dipertanding tahun ini ialah Anugerah Hall of Fame, Anugerah Emas Universiti, Anugerah Khas Universiti, Tokoh Sukan UiTM dan Tokoh Sukan Alumni.

ARTIKEL BERKAITAN : Siapa Olahragawan, Olahragawati UiTM 2022 ?