PEMAIN sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli Amin tekad membantu pasukan kebangsaan sebaik mungkin sepanjang sesi kem latihan pusat di Johor Bahru yang bermula sejak Sabtu.

Pemain kelahiran Baling itu mengakui sifat keyakinan diri yang ada padanya membolehkan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memanggilnya buat pertama kali dalam pasukan.

“Mungkin dari segi keyakinan yang membolehkan jurulatih Kim Pan-gon panggil saya. Insya Allah saya akan bantu serba sedikit untuk pasukan Malaysia kali ini dan mungkin terbaik meningkatkan permainan dalam pasukan Kedah,” katanya ketika ditemui pemberita di Johor Bahru pada Ahad.

Fayadh, adalah antara lapan pemain baharu yang disenaraikan oleh Kim Pan-gon yang dilihat dipilih berdasarkan prestasi semasa mereka dalam liga.

Endrick antara muka baharu menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Padang Seri Gelam.

Selain itu, turut mendapat perhatian adalah Damien Lim, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Daniel Ting, Paulo Josue, Endrick Dos Santos, Feroz Baharudin dan Nooa Laine.

“Saya memang rasa malu-malu sikit sebab saya kali pertama dapat call up dengan nama pemain besar macam ni. Insya Allah saya boleh hadapi dengan baik.

“Ramai pemain yang rajin berkomunikasi dengan saya dan memberi tunjuk ajar terutama Syafiq Ahmad (bekas rakan sepasukan),” katanya miliki ketinggian 1.6 meter.

Skuad kendalian Kim Pan-gon kini giat meneruskan kem latihan pusat di Johor Bahru, sebagai persiapan menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan pada 23 Mac & Hong Kong, 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

ARTIKEL BERKAITAN : Lapan muka baharu bukti Kim Pan-gon berani ambil risiko