PEMAIN tengah warisan negara yang baharu didaftarkan iaitu Nooa Laine tidak melihat persaingan antara pemain senior dan muda sebagai halangan dalam kem Harimau Malaya.
Katanya, suasana cukup harmoni dan kesemua 27 pemain yang dikumpulkan dalam kem latihan pusat di Padang Seri Gelam cukup mesra.
“Setakat ini semua baik. Tiada benda buruk untuk diperkatakan. Saya berharap dapat bersaing untuk menjadi pemain yang penting buat pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Johor Bahru pada Ahad.
Baru berusia 20 tahun dan dan dilahirkan di Jyvaskyla, Finland, Nooa mengakui wujud perbezaan bermain di liga dan pentas pasukan kebangsaan.
“Gaya permainan agak berlainan dengan di Finland yang lebih teknikal manakala bola sepak di sini pula menerapkan kepada straightforward,” ujarnya anak kepada Faried Baharin yang merupakan penduduk asal Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor.
Untuk rekod, dalam usia 20 tahun, Nooa sudah pun mempunyai pengalaman yang cukup baik beraksi dalam saingan kompetitif di Eropah bersama beberapa pasukan sekitar Finland.
Sebenarnya, ini bukan pertama kali Nooa dipanggil sertai skuad kebangsaan, setelah sebelum itu Nooa pernah menerima tawaran tersebut bersama pasukan bawah 20 negara.