KOLABORASI antara jenama minyak masak terkemuka, ALIF dan Liga Bolasepak Malaysia tahun ini diteruskan untuk tahun kedua berturut-turut sebagai salah satu penaja pertandingan ini.
Pengumuman khas ini dilakukan semasa upacara pelancaran yang dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL Mohd Joehari Ayub, dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam, di mana produk terbaharu ‘Minyak Masak ALIF Ecopax turut diperkenalkan.
Pengarah Urusan Sime Darby Oils, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, kolaborasi antara ALIF dan MFL pada tahun lepas mendapat tempat di kalangan peminat bola sepak tempatan dengan hampir 30,000 pengunjung turut serta dalam aktiviti-aktiviti menarik di Zon ALIF yang dijalankan di stadium semasa 22 perlawanan terpilih.
“Kehadiran penyokong bolasepak yang besar di media sosial juga turut memanfaatkan kerjasama ini, apabila kehadiran maya ALIF meningkat secara memberangsangkan dengan siaran media sosial berkaitan MFL mencapai 3 juta tontonan.”
Tambah Mohd Haris, pengenalan ‘Minyak Masak ALIF EcoPax’ yang baharu bertepatan dengan komitmen syarikat untuk membawakan produk berkualiti kepada pengguna Malaysia yang pelbagai, termasuk memenuhi keperluan gaya hidup isirumah di bandar masa kini.
“Untuk musim baharu Liga Malaysia, ALIF telah merancang beberapa aktiviti gaya hidup yang akan dijalankan di kedai-kedai jualan.
“Dengan adanya penglibatan rangkaian jualan seperti AEON Big sebagai penaja rasmi Liga Malaysia, ALIF berharap akan dapat membawakan lebih banyak aktiviti jualan, dan menemui peminat bukan sahaja di stadium,” jelas Mohd Haris.
Sementara itu, Stuart turut berkongsi bahawa penglibatan ALIF baik untuk perkembangan bolasepak tempatan, dan ini dapat disaksikan dari sambutan menggalakkan peminat bolasepak untuk aktiviti-aktiviti penajaan ALIF di stadium dan juga di media sosial.
“Kerjasama berterusan ALIF bersama MFL menandakan penglibatan positif satu lagi jenama tempatan unggul yang menghargai dan menyokong industri bolasepak tempatan sebagai pentas untuk menambahkan penglibatan dan kesedaran.