BUAT julung kalinya Stadium Sultan Ibrahim SSI akan menjadi ‘rumah’ buat Harimau Malaya apabila akan menganjurkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac 2023.

Ramai yang teruja apabila akhirnya skuad Harimau Malaya dapat menyajikan aksi bola sepak sebenar dengan DNA Kim Pan-gon apabila bermain di padang yang baik sekaligus bola boleh bergerak lebih pantas dan tidak beralun.

Namun begitu beberapa kerisauan ditimbulkan para penyokong kerana kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung pada bulan Ramadan terutama perlawanan pertama yang jatuh pada hari pertama umat Islam berpuasa.

Antara restoran yang ada di Stadium Sultan Ibrahim

 

Meskipun perlawanan akan berlangsung pada bulan Ramadan, namun para penyokong tidak perlu risau untuk hadir kerana stadium terbaik negara itu mempunyai pelbagai kemudahan yang lengkap untuk keselesaan penyokong.

Stadium Sultan Ibrahim mempunyai tiga restoran yang selesa dan menyelerakan seperti Woodfire Burger, KFC dan Subway serta beberapa kiosk makanan yang menyajikan pelbagai juadah untuk para penyokong berbuka puasa atau pun makan malam bersama teman dan keluarga.

Kawasan letak kenderaan yang luas juga mungkin boleh digunakan penyokong untuk menghamparkan tikar dan berbuka puasa bersama-sama dalam keadaan yang meriah dan menyeronokkan.

Salah sebuah surau di Stadium Sultan Ibrahim

Penyokong juga tidak perlu risau untuk menunaikan solat kerana Stadium Sultan Ibrahim mempunyai tujuh buah surau yang besar dan selesa di sekeliling stadium juga akan memudahkan penyokong untuk menunaikan kewajipan solat Maghrib.

Selain itu, semua penyokong juga boleh menunaikan solat Isyak dan Terawih secara berjemaah sementara menunggu sepak mula jam 10 malam untuk melengkapkan ibadah puasa pada hari perlawanan.

Ayuh berikan sokongan kepada Harimau Malaya. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk tidak turut serta kerana ianya pasti satu pengalaman yang unik buat para penyokong kerana anda bukan sahaja setia memberikan sokongan malah mudah untuk berbuka puasa dan beramal kerana semuanya lengkap dan selesa di Stadium Sultan Ibrahim.