PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu penyokong tidak menganggap Kejohanan Pestabola Merdeka sebagai saingan picisan atau tangkap muat kerana penganjurannya akan diadakan pada kalendar antarabangsa Fifa yang akan memberikan mata ranking kepada skuad Harimau Malaya.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kejohanan itu yang kembali dianjurkan pada Oktober 2023 selepas 10 tahun tidak diadakan akan disertai India, Palestin dan Lebanon yang mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Harimau Malaya.

Ini sekali gus akan memberi kelebihan membabitkan pungutan mata ranking yang boleh memperbaiki kedudukan pasukan kebangsaan untuk berada di tahap lebih baik.

“Saingan Pestabola Merdeka kembali dianjurkan pada tahun ini pada kalendar Fifa pada bulan Oktober. Kali ini kita akan menggunakan format seperti Piala Raja Thailand melibatkan tiga pasukan jemputan, India, Palestin dan Lebanon.

“Setiap pasukan akan beraksi dua perlawanan dengan pemenang perlawanan pertama bakal bertemu di pentas final manakala yang tewas akan bertemu pada aksi penentuan tempat ketiga.

“Ini adalah kali pertama Pestabola Merdeka dianjurkan sejak 2013 dan kami akan buat dengan skala kecil dahulu tetapi ia masih cukup penting kerana menyumbangkan mata untuk ranking skuad kebangsaan,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM pada Selasa.

Skuad Harimau Malaya ketika Kelayakan Piala Asia.

Hamidin juga berkata hasrat untuk menganjurkan saingan Pestabola Merdeka sudah bermula sejak 2019 tetapi penganjurannya terpaksa ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Beliau turut mengakui kejohanan kali ini tetap akan berlangsung dengan meriah meskipun ia dianjurkan di luar bulan kemerdekaan seperti yang dilakukan pada sebelum ini kerana mengambil kita perubahan kalendar Fifa masa kini.

“Peminat tidak boleh dilamun seperti era yang 10 hingga 20 tahun lalu kerana ketika itu kita tidak didedahkan lagi dengan kalendar Fifa tetapi situasi kini berbeza dan Oktober adalah tarikh terbaik untuk penganjurannya,” katanya.

Saingan Pestabola Merdeka ini bakal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus menjadi pentas pertama untuk menguji padang baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada September depan.