SUKAN berkuda terutama Polo adalah sukan yang agak asing bagi wanita sebelum ini namun kini ia tidak lagi.

Ini kerana semakin ramai yang menceburi acara ini  dan sudah banyak pasukan polo wanita ditubuhkan termasuk campuran (acara).

Memang benar, acara polo ini dianggap sukan yang mahal namun ianya tidak menjadi penghalang untuk lebih ramai pemain melibatkan diri dengan mengaturkan banyak pertandingan polo di dalam negara.

Dengan adanya minat segalanya boleh terjadi. Salah seorang pemain polo wanita, Datin Dr Nik Sarina Hashim membuat keputusan besar meninggalkan dunia perundangan untuk menyertai pasukan Amax Labella yang bernaung di bawah Persatuan Polo DiRaja Malaysia.

Dr Sarina bersama pasukan Amax Labella

“Saya memilih polo kerana saya suka menunggang kuda. Selepas pandai menunggang kuda, saya fikir apa yang boleh buat dan akhirnya saya pilih polo selepas ianya beri saya kepuasan apabila saya memegang kayu polo kira-kira 10 tahun lalu.

“Semakin ramai pemain polo wanita di negara ini. Saya suka bermain dalam pasukan campuran dengan lelaki kerana ianya lebih mencabar dari segi fizikal dan kekuatan serta keberanian. Kita cuba lawan dari segi taktikal.

“Hubungan dengan kuda jadi penentu keputusan perlawanan kerana ianya melibatkan 70 peratus kuda dan 30 peratus pemain dan bermain sukan berkuda ini menjadikan saya lebih sihat dan gembira dengan kehidupan,” katanya ketika ditemubual FLASH SUKAN.

Ditanya bagaimana dia menjaga kuda-kuda polonya, Dr Sarina memberitahu dia mempunya satu pasukan yang mantap untuk menjaga kuda kerana ianya adalah usaha dan perhatian yang memerlukan masa 24 jam.

Menjadikan Lia Salvo, pemain Polo 10-Gol terkemuka dunia sebagai idola, Nik Sarina juga giat menyertai beberapa perlawanan polo antarabangsa antaranya di Emiriah Arab Bersatu dan juga di Argentina selain beberapa kejohanan anjuran Persatuan Polo DiRaja Malaysia.

Selain bermain polo, bekas peguam ini juga adalah ahli perniagaan barangan kosmetik yang pernah memenangi anugerah kecantikan anjuran sebuah majalah tempatan yang juga berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Kings College London serta Sarjana Perbankan (Undang-Undang) dan Doktor Falsafah dalam Islamic Finance.