KAPTEN pasukan Harimau Malaya, Dion Cools mahu memastikan benteng pertahanan dikawal rapi bagi elak dibolosi pasukan Turkmenistan.
Tonggak kacukan Belgium-Malaysia itu dijangka bergandingan bersama Shahrul Saad menjaga kubu sambil Syihan Hazmi bakal diberi kepercayaan mengemudi benteng terakhir negara.
“Kami akan mengawal kubu daripada bolos dan sebagai pemain pertahanan kami akan elak buat silap.
“Saya juga akan guna segala pengalaman beraksi dalam pelbagai liga membantu rakan-rakan sepasukan,” katanya yang kini beraksi di Liga Thailand bersama kelab Buriram United FC.
Bekas pertahanan kelab gergasi Belgium, Club Brugge yang sarat dengan pengalaman beraksi di pentas tertinggi seperti Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa itu turut yakin dan positif pada pertemuan malam esok di hadapan penyokong sendiri.
Ujarnya, kombinasi pemain-pemain baharu dalam skuad kali ini juga akan memperkukuhkan lagi pasukan dan menambah kualiti agar menjadi lebih baik.
“Saya berkeyakinan kualiti yang ada ini boleh memastikan Malaysia mencapai matlamat yang dimahukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon,” katanya yang dilahirkan di Sarawak.
Skuad Harimau Malaya bakal menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, dengan kem latihan dijalankan di pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sebagai rekod, perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim juga merupakan penampilan pertama Harimau Malaya selepas kali terakhir beraksi di Johor sewaktu tewas 1-2 kepada Lubnan dalam pusingan Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2017.