PEMILIK Kuala Lumpur City FC, Noor Azri Noor Azerai kini sudah mengenalpasti beberapa tapak yang boleh dijadikan pusat latihan skuad Warga Kota bagi memastikan pemain dapat berlatih dalam keadaan yang lebih kondusif.

Ini selepas pendedahan yang dilakukan pihak media mengenai keadaan padang latihan juara Piala Malaysia 2021 itu yang dalam keadaan tidak memuaskan sekaligus memanggil pemilik baharu itu untuk bertindak.

Noor Azri juga mengesahkan melalui syarikatnya, Rinani Group Berhad sudah mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi menyelesaikan isu itu sekaligus memastikan KL City menjadi antara kelab terbaik di negara ini.

Pemilik baharu KL City FC, Noor Azri Datuk Seri Noor Azerai

“Berkaitan pusat latihan kami mempunyai pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang yang akan diusahakan dalam masa terdekat dengan pelan jangka pendek lebih tertumpu kepada penyewaan atau pembelian fasiliti latihan sedia ada di Kuala Lumpur.

“Kami sudah bertemu dengan beberapa pihak yang mampu memberikan kami kemudahan pusat latihan dan ini adalah pelan jangka pendek kami buat masa ini disamping pelan jangka panjang.

“Pelan jangka panjang kami adalah untuk membina sendiri pusat latihan yang lengkap dan ini mungkin mengambil masa sehingga dua tahun dan perkara ini adalah antara agenda utama kami dalam hal berkaitan bola sepak untuk kemajuan KL City,” katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pengumuman penajaan baharu.

Skuad KL City mula mendapat perhatian tajaan korporat 

Tambah Azri, Rinani Group Berhad akan bertindak sebagai nilai tambah buat KL City dalam mencari penajaan dan ini adalah permulaan dalam era baharu pemilikan finalis Piala AFC 2022 itu.

Dalam majlis itu, Azri memperkenalkan Janzten sebagai rakan hidrasi KL City dalam penajaan selama satu tahun dan berkemungkinan akan menjadi rakan kongsi untuk jangka masa yang panjang selepas ini.