KETUA Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard menyokong penuh pemilihan kapten pasukannya, Paulo Josue yang dinaturalisasikan ke skuad kebangsaan kerana sememangnya dia layak secara merit.

Stanley juga berkata Paulo adalah seorang pemain yang sudah membuktikan dirinya cukup Malaysia terutama apabila setia bersama KL City meskipun pernah direlegasi ke Liga Perdana suatu ketika dahulu.

“Saya tidak pernah lihat seorang pemain yang begitu teruja menyarung jersi kebangsaan. Secara meritokrasi dia memang layak tetapi dia juga berusaha untuk mendapatkan belang Harimau Malaya.

“Paulo adalah pemain yang bagus untuk Harimau Malaya dan saya ucapkan selamat maju jaya buat dia,” katanya ketika ditemui di majlis pengenalan penaja baharu KL City,” katanya ketika ditemui di majlis pengenalan penaja baharu KL City.

Paulo Josue dengan jersi Harimau Malaya

ARTIKEL BERKAITAN: Paulo Josue terus peluk isteri bila nama dipanggil ke skuad kebangsaan

Stanley turut mengulas tentang peluang pasukan kebangsaan untuk menentang Turkmenistan pada Khamis dengan menganggap Malaysia berpeluang untuk menang kerana pemilihan pemain yang baik daripada Kim Pan-gon.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard

“Persediaan Pan-gon kali ini sangat bagus kerana dapat berlatih dengan fasiliti yang baik. Ini membuatkan para pemain dapat merasakan mereka berada di puncak dunia kerana berada dalam pasukan elit.

“Namun saya rasa Pan-gon akan lebih mencuba barisan terbaik. Ini kerana dia telah dapat pemain yang terbaik untuk kem kali ini hingga tidak ada orang mempertikaikan pemilihannya.

“Saya ucapkan tahniah kepada barisan kejurulatihan yang membuat ‘scouting’ para pemain,” tambahnya.

Dalam masa yang sama Stanley juga mahu semua penyokong untuk jangan terlalu cepat menilai keputusan dua aksi persahabatan ini kerana ianya adalah medan terbaik buat Kim Pan-gon untuk menguji pasukan menjelang Piala Asia yang berprestij itu nanti.