PENGENDALI pasukan kebangsaan Bawah 22 Tahun (B-22) , E. Elavarasan menjangkakan satu perlawanan menarik apabila pasukannya bakal berhadapan skuad Kemboja B22 pada perlawanan pembukaan Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar, Singapura esok.
Menaruh harapan untuk menang, Elavarasan bagaimana pun tidak mahu pemainnya memandang rendah keupayaan Kemboja kerana mereka adalah pasukan yang baik dan mampu memberikan kejutan kepada skuad negara.
Malah Elavarasan mengharapkan semua pemainnya cepat menyesuaikan diri dengan keadaan padang tiruan stadium itu dan tidak mengalami kecederaan apabila beraksi menentang anak-anak buah Ryu Hirose.
“Kemboja adalah pasukan yang baik dam saya yakin mereka menyertai kejohanan ini untuk mendapat pendedahan seperti juga kami kerana kekurangan pertandingan di peringkat umur ini buat kedua-dua pasukan.
“Saya juga dapat rasakan mereka sudah bersedia manakala kami hanya mempunyai beberapa hari sebagai persediaan. Jangkaan saya ianya akan menjadi satu perlawanan yang menarik buat kedua-dua pasukan ini.
“Penyertaan kami dalam kejohanan ini adalah untuk memberikan pendedahan yang baik buat para pemain kerana mereka jarang diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing dalam liga seperti yang dilakukan banyak jurulatih di peringkat remaja.
“Kebanyakan padang di sana adalah rumput tiruan jadi ianya akan menjadi pengalaman buat kami semua dan saya berharap pemain kami cepat menyesuaikan diri dan juga mengelakkan dari mengalami kecederaan,” katanya pada sidang media yang dilangsungkan secara maya.
Sementara itu, pengendali Kemboja juga menganggap kejohanan ini sebagai medan ujian buat pemainnya dan mengakui Malaysia adalah pasukan yang lebih baik tetapi dia tahu para pemainnya tidak sabar untuk melakukan sesuatu yang membanggakan untuk negara.
Dalam kejohanan empat negara itu, Malaysia akan menentang Kemboja manakala Singapura bertemu Hong Kong pada Jumaat dengan pemenang kedua-dua perlawanan pertama akan bertemu dalam aksi final dengan pasukan yang tewas akan merebut tempat ketiga dan keempat pada Ahad.