KAPTEN pasukan bawah (B-22) 22 tahun kebangsaan, Azam Azmi Murad menganggap kemenangan 4-2 yang diperolehi ke atas Kemboja bukan satu kejayaan yang mudah kerana majoriti pemain dalam keadaan berpuasa dan bermain dalam cuaca yang panas.
Namun baginya ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh pemain beragama Islam dan menganggap keharmonian yang ada dalam skuad ini menjadi antara tunjang utama kemenangan seterusnya layak ke perlawanan akhir Merlion Cup 2023.
Azam yang mencipta gol ketiga buat Malaysia masih belum merasa puas meskipun mencatat kemenangan kerana masih banyak kesilapan yang perlu diperbaiki menjelang aksi final pada Ahad.
Fakta Skuad B22 Negara
Tahukah anda, kesemua pemain muslim dalam skuad ini kekal berpuasa meskipun bermain dalam cuaca panas sehingga tamat perlawanan. Mentaliti kelas dunia.#HarimauMalaya pic.twitter.com/MawaBvGBmx
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 24, 2023
“Bagi saya walaupun menang 4-2 masih ada beberapa kesilapan mudah dilakukan kami dan ianya perlu diperbaiki terutama dari segi passing dan bertahan dalam perlawanan seterusnya.
“Saya hargai apa yang dilakukan pasukan ini. Selepas kena dua gol kami bangkit semula untuk menang. Semua pemain berpuasa dan kami tidak dapat berikan sepenuhnya tetapi Alhamdulillah akhirnya kami dapat kemenangan.
“Bermain dalam keadaan puasa yang wajib adalah cabaran untuk seorang Muslim. Sedikit penat kerana ianya masih di awal Ramadan. Pemain bukan Islam pun tidak minum dan hanya berkumur dan ini adalah contoh keharmonian dalam pasukan ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Berkongsi mengenai persiapan seterusnya Azam turut menjelaskan bahawa mereka akan bermain dengan taktikal yang sama dan akan buat yang terbaik untuk muncul juara dan membawa pulang piala yang akan didedikasikan kepada para penyokong.
Azam sendiri menyumbang satu bantuan jaringan dan dia berbangga dengan kerana berjaya membawa pasukan ke final yang bakal menjadi pemangkin semangat skuad ini sebagai persiapan ke Sukan Sea Kemboja pada Mei 2023.
“Semestinya saya bangga dengan sumbangan saya kerana kami mahu ke final dan mahu bawa balik piala. Piala ini untuk penyokong,” tambahnya.
Malaysia akan berhadapan Hong Kong menewaskan tuan rumah, Singapura 1-0 dalam aksi final yang dijadualkan pada Ahad di Stadium Jalan Besar, Singapura dalam misi kejuaraan pertama Merlion Cup buat skuad negara.