PENUNGGANG Moto GP Sepanyol, Pol Espargaro mengalami kecederaan rahang, belakang dan paru-paru selepas terlibat kemalangan teruk ketika sesi latihan menjelang perlumbaan pembukaan musim di Litar Portimao, Portugal, Jumaat.
MotoGP dalam satu kenyataan berkata, perkembangan terkini perubatan penunggang GasGas Factory Racing Tech3 berusia 31 tahun itu mendapati, terdapat lebam pada paru-paru, selain dia turut mengalami patah rahang dan tulang belakang.
Espargaro kini dalam keadaan sedar dan telah diterbangkan ke Hospital di bandar selatan Faro.
Pengarah Perubatan MotoGP, Angle Charte dilaporkan berkata, penunggang itu mengalami pelbagai trauma namun sihat dari segi saraf tanpa melibatkan kecederaan leher.
“Dia sedar memberi tindakbalas dengan baik namun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Dia berada dalam keadaan tenang kerana masih di bawah pengaruh ubat penahan sakit.
“Dia boleh menggerakkan kaki dan lengan dengan baik jadi, tiada sebab kita bimbangkan kecederaan kekal tulang belakang,” kata Angle.
Espargaro yang abangnya turut menunggang untuk pasukan Aprilia Racing, tercampak dari motosikalnya dan melantun ke atas batu di penghadang pada sesi kedua latihan.
Kemalangan itu menyaksikan sesi latihan trek terpaksa di hentikan dan Espargaro segera diberi rawatan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke pusat perubatan.