PENYANDANG juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia muncul juara pertama perlumbaan ‘sprint‘ selepas Jorge Martin melakukan kesilapan pada pusingan terakhir Grand Prix Portugal pada Sabtu.
Sebagai salah satu perubahan utama dalam format MotoGP musim 2023, perlumbaan sprint dengan separuh jarak daripada perlumbaan utama akan dilangsungkan pada Sabtu dalam kesemua grand prix tahun ini.
Tempat ketiga menjadi milik Marc Marquez yang bermula dari petak utama selepas berjaya mengambil kesempatan kesilapan pelumba tempatan, Miguel Oliveira yang terbabas dari litar pada pusingan terakhir manakala pelumba Yamaha, Fabio Quartoraro gagal mendapatkan sebarang mata.
Perlumbaan sprint ini yang diadakan sebagai nilai tambah kepada para penyokong nyata tidak menghampakan dengan banyak insiden berlaku pada pusingan terakhir dengan Jorge Martin selesa mendahului setengah saat di hadapan meskipun dikejar hebat Bagnaia.
Tekanan berterusan yang diberikan Bagnaia nyata berhasil apabila Martin terbabas di selekoh kelima dan membolehkan juara dunia itu memintas sekaligus muncul juara manakala Martin terpaksa berpuas hati di tangga kedua, ketinggalan 0.307 saat.
Miguel Oliveira juga digagalkan tempat di podium selepas dia juga melakukan kesilapan apabila terkeluar dari litar di selekoh ke-10 untuk memberikan Marquez kedudukan ketiga manakala pelumba Portugal itu jatuh ke tempat ketujuh.
The perfect way to start your #MotoGP World Championship defence! 🏆@PeccoBagnaia leads the charge after the first ever #TissotSprint 🔥#PortugueseGP 🇵🇹 pic.twitter.com/XL10i182u2
— MotoGP™🏁 (@MotoGP) March 25, 2023
Jack Miller menamatkan perlumbaan di tempat keempat hanya dipisahkan 0.086 saat di belakang Marquez dengan dua pelumba Aprilia, Maverick Vinales dan Aleix Espargaro menamatkan perlumbaan di tangga kelima dan keenam dengan Johann Zarco di tempat kelapan manakala Alex Marquez di tangga kesembilan untuk mendapat satu mata terakhir.
“Saya gembira kerana berjaya menjalankan tugas kami. Masih terasa sedikit pelik kerana kami harus berlumba sekali lagi pada Ahad. Sasaran saya adalah untuk menamatkan perlumbaan dalam tiga tempat teratas dengan menjaga tayar hadapan pada peringkat awal perlumbaan dan ianya berjaya. Secara keseluruhan, saya seronok kerana walaupun pusingannya lebih sedikit tetapi tekanannya tetap sama,” kata Bagnaia selepas perlumbaan.
Dengan kemenangan ini, Bagnaia mendahului senarai kejuaraan dengan 12 mata dan berpotensi untuk melebarkan lagi jurang mata apabila beraksi dalam perlumbaan utama pada Ahad.