PENAMPILAN pemain badminton kebangsaan, Ng Tze Yong di Sepanyol Masters minggu hadapan masih menjadi tanda tanya, selepas pemain ranking ke-26 dunia itu mengalami kecederaan hamstring di suku akhir Terbuka Switzerland yang sedang berlangsung.

Malang buat pemain berusia 23  tahun itu, mempamerkan prestasi memberangsangkan namun malang menimpanya ketika menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen.

Selepas melakukan kejutan terbesar menyingkir pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen di pusingan kedua Seluruh England minggu lalu, kejutan  yang mahu dijelmakan ketika menentang pemain Taiwan di ranking keenam dunia itu tidak menjadi kenyataan apabila dihimpit kecederaan inner thigh hamstring, memaksanya menarik diri dari perlawanan suku akhir ketika Tien Chen mendahului 21-11, 2-0.

Tze Yong yang dijangka beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 kini perlu berehat namun namanya masih tersenarai dalam undian di Sepanyol Masters yagn akan bermula 28 Mac hingga 2 April.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann berkata, kecederaan hamstring dialami Tze Yong itu menghalangnya daripada melakukan pergerakan besar.

“Dia mengalami kecederaan bahagian dalam peha, ketegangan hamstring dan membengkak sehingga menyakitkan. Jadi sukar untuk dia mengambil bola jauh seperti hantara drop shots,” kata Choong Hann yang mengiringi pemain ke Eropah.

Selepas Sepanyol, Tze Yong dijangka beraksi di Orleans Masters, di Perancis dalam usaha menaikkan rankingnya menjelang jendela mata kelayakan Olimpik Paris, bagi badminton bermula Mei depan.