ENGLAND mencapai kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Itali, dalam kempen kelayakan Euro 2024, ketika menang 2-0 ke atas Ukraine awal pagi Isnin.
Kemenangan berharga itu menyaksikan Bukayo Saka semakin berbisa apabila membantu kemenangan Three Lions.
Penyerang England itu menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, sekali lagi mempamerkan ketajamannya di Wembley.
Hantaran lintang Saka membolehkan Harry Kane membuka jaringan untuk England pada minit ke-37, sekali gus membantu penyerang itu mengatasi rekod sepanjang zaman Wayne Rooney sebagai penjaring terbanyak England, selepas meledak gol ke-54 antarabangsa, ketika menentang Itali pada perlawanan pertama.
Penyerang Tottenham itu menerima kasut emas sebelum perlawanan bermula dan tidak menunggu lama meledak gol ke-55 untuk negaranya.
Ketika ini, Kane sudah mengumpul 34 jaringan dalam 29 aksi kelayakan England di peringkat kumpulan.
Kane yang berusia 29 tahun kini berada di puncak kerier manakala Saka baru 21 tahun, mula meneroka potensi diri terutamanya menerusi jaringan jarak jaih pada minit ke-40.
Jurulatih, Gareth Southgate memuji kehebatan penyerang mudanya itu.
“Sebaik dia menerima bola dan berpusing, anda sedar dia akan melakukan jaringan dan penyudahnya berkelas tinggi.
“Percubaannya itu paling meyakinkan berbanding 18 bulan lalu. Sebelum ini, masih boleh diragukan kemampuannya menjaringkan gol tapi sekarang cukup meyakinkan.
“Dia memiliki kualiti teknikal dan mentalitit berbeza,” kata Southgate.
Khamis lalu, England menang 2-1 ke atas juara Eropah, Itali, kemenangan pertama dicapai di bumi Itali sejak tahun 1961, sekali gus menjadi petunjuk bahawa England serius untuk memenangi trofi pertama sejak 1966.
Kemenangan ke atas Ukraine membolehkan England menghuni tangga teratas kumpulan C dan mereka akan menentang Malta serta Macedonia Utara pada Jun depan. – AFP