KETUA jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen dedah masih belum mendapat barisan pemain yang terbaik untuk berhadapan Harimau Malaya pada perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1, Selasa.

Pengendali kelahiran Norway itu memberitahu, terdapat beberapa pemain yang masih beraksi di Liga China yang tidak mendapat pelepasan daripada kelab namun barisan pemain yang hadir kali ini lebih baik berbanding ketika aksi Jun lalu.

Malah Anderson juga turut menjelaskan bahawa sudah memperbaiki kelemahan yang dikesan ketika menentang Singapura sebagai persiapan menentang skuad kendalian Kim Pan-gon.

“Tahun lalu, akibat Covid-19 kami tidak dapat memanggil pemain yang beraksi di China tapi untuk kali ini sedikit kelegaan kerana pemain yang kami mahukan boleh turun beraksi tapi masih ada yang tidak dapat menyertai kami akibat masih ada perlawanan liga di China.

“Selain itu, ada beberapa pemain mengalami kecederaan selepas aksi menentang Singapura dan tidak bersama kami kali ini dan pemain pertahanan, Helio de Souza juga tidak dapat menyertai pasukan kerana masalah pasport.

“Namun begitu, kami datang dengan barisan terbaik kali ini dan akan membawa masuk dua pemain B-22 kami yang baru selesai menjalani kejohanan Piala Merlion di Singapura untuk menampung tempat pemain yang tercedera.

“Kami akan lakukan sesuatu yang baharu. Ianya dua perlawanan yang berbeza kerana Singapura bermain secara bertahan selama 90 minit. Malaysia pasti akan menyerang kami dan ini baik untuk kami kerana dapat bertemu pasukan yang kuat.

“Saya berjanji ini adalah skuad yang lebih baik dari tahun lepas,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Sementara itu, pemain pertahanan Hong Kong, Tsui Wang Kit berkata mereka sudah melupakan kekalahan 2-0 kepada Harimau Malaya dan hanya fokus bagi mengharungi perlawanan yang dijangka menarik.

Dia juga tidak gentar untuk menghadapi pemain sayap Malaysia yang disifatkan sebagai pantas dan bekualiti serta turut akan membantu serangan pasukan Hong Kong.

Tsui Wang Kit

“Kami sudah lupakan kekalahan sebelum ini dan mahu fokus untuk perlawanan pada Selasa dan akan cuba sehabis mungkin untuk memburu kemenangan malah saya tahu pemain sayap kiri Harimau Malaya kerap beraksi dengan corak permainan pantas.

“Saya akan beri persembahan yang mantap malah tidak gentar dengan kualiti yang mereka miliki dan akan turun lebih agresif bukan sahaja beraksi secara bertahan tapi akan tetap membantu untuk menyerang,” kata Wang Kit.

Hong Kong bakal berhadapan Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa dengan rekod terakhir perlawanan antara kedua-dua pasukan menyaksikan Hong Kong tewas 0-2 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun 2022.