SKUAD Karate negara diletak harapan menggunung untuk menjadi lubuk emas di temasya Sukan Sea Kemboja, Mei depan.
Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali berkata, beliau optimis skuad karate mampu mengatasi pencapaian Sukan Sea Hanoi, Vietnam tahun lalu.
Keyakinan itu dibuat Mohd Nasir selepas kehadiran ketua jurulatih baharu daripada Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy yang berpengalaman luas di pentas tertinggi sukan itu.
“Kita amat yakin dengan karate, apatah lagi Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) ada buat persiapan yang baik.
“Sebelum ini juga mereka (skuad karate) ada masuk pertandingan dan saya dapat tahu mereka dapat pencapaian memberangsangkan, lagi semangat mereka untuk capai prestasi baik di Sukan Sea,” katanya, selepas meninjau persiapan skuad berkenaan menjalani latihan di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.
Tahun lalu, skuad negara berjaya menamatkan kempen di Sukan Sea Hanoi dengan empat pingat emas dan enam pingat gangsa di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh.