SUSULAN tular gambar di media sosial antara Tan Sri Norza Zakaria bersama Lee Zii Jia yang dilihat mesra bergambar, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tersebut tampil memberikan maklum balas mengenai isu tersebut.

Jelasnya, pertemuan tersebut bukanlah dirancang dan tidak ada sebarang spekulasi berkenaan pemain tersebut untuk ke badan induk persatuan badminton negara itu.

Sebaliknya, katanya ia hanyalah kebetulan. Pada pertemuan pertama mereka bertemu adalah semasa di Birmingham pada Kejohanan All England sewaktu Lee Zii Jia sedang membeli makanan menerusi E-Hailing.

Manakala, pertemuan kedua adalah apabila mereka terserempak di kedai Mamak berdekatan Sri Hartamas sewaktu Tan Sri Norza sedang bersahur pada ketika itu.

“Saya punya jawapan adalah dua kali saya terserempak dengan Lee Zii Jia. Satu masa saya duduk dekat All England di Birmingham. Pada masa itu, dia sedang membeli makanan menerusi E-Hailing, saya terjumpa dengannya dan mengucapkan semoga berjaya dan mengambil gambar bersama-sama.

“Keduanya adalah semasa saya sahur di Sri Hartamas, dia baru sahaja pulang dari Eropah, dia memang mengidam makan di Mamak pada masa itu dan sekali lagi terjumpa saya,” jelasnya.

Mengulas lanjut sama ada benar atau tidak pemain perseorangan lelaki No.1 negara itu bakal kembali ke pangkuan BAM, Tan Sri Norza akan menanti perbincangan antara Hannah Yeoh dan Lee Zii Jia terlebih dahulu sebelum memberi sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, Norza menambah Lee Zii Jia akan tetap diletakkan sebagai pemain yang berada dalam senarai Road To Gold (RTG) dan BAM tetap akan memberi sokongan serta keperluan atlet tersebut untuk beraksi dengan baik.

“Saya akan tunggu pertemuan Hannah Yeoh dengan Lee Zii Jia terlebih dahulu. Keduanya, sama ada dia kembali ke BAM atau tidak ke BAM, keputusannya jelas bahawa dia tetap berada dalam kelompok atlet Road to Gold (RTG).

“Apa sahaja yang dia perlukan untuk dirinya dari segi latihan, kejurulatihan dan keperluan-keperluan lain, kita akan beri sokongan sepenuhnya berpandu kepada kriteria dan terma yang diletakkan dalam Road To Gold,” katanya.