JAGUH trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi sesi latihan pasukan kebangsaan sepanjang berada di Velodrome Illes Balears, Palma Sepanyol.
Menurutnya, latihan masih dijalankan seperti biasa walaupun umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
“Cumanya, sudah tentu ada sedikit ubah suai ke atas program latihan dan waktu untuk berlatih. Sekarang kami semua berada di Mallorca, sebuah pulau negara Sepanyol di perairan Mediterranean, menjalani kem latihan untuk perlumbaan di sekitar Eropah.
“Puasa di sini mengambil masa selama lebih kurang 15 jam dengan keadaan cuaca yang mempunyai matahari panas tetapi dengan angin yang sejuk,” kepada pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Prospek emas negara di Sukan Olimpik Paris 2024 berusia 35 tahun itu berkata, suhu terkini di Palma minima sekitar lapan Celcius dan maksima mencecah 25 Celcius.
“Masyarakat tempatan mengatakan sekarang adalah the best season of the year. Kalau anda dapat lihat dari gambar yang dikongsi itu, saya bukan sahaja agak kepenatan dari sesi latihan tetapi juga mengusap perut memujuk diri yang hanya tinggal beberapa jam lagi untuk berbuka puasa,” selorohnya dari hantaran Facebook peribadi miliknya pada Khamis.
Azizulhasni dan pasukan lumba basikal trek negara selepas ini dijadual menyertai perlumbaan di sekitar Eropah.
ARTIKEL BERKAITAN : Azizulhasni Awang tarik diri perlumbaan di Piala Negara-Negara
Azizulhasni juga baru-baru ini membuktikan bahawa beliau masih berbisa apabila meraih pingat perak di kejohanan Piala Negara-Negara, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Beliau berjaya menamatkan saingan keirin lelaki di tempat kedua dengan catatan masa 10.263 saat pada pusingan pertama Piala Negara-Negara, di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia.
Cumanya, faktor kesihatan, membuatkan beliau terlepas peluang sekali lagi mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, selepas terpaksa menarik diri dari penyertaan di kejohanan UCI di Kaherah, Mesir awal bulan ini.