MALAYSIA bakal berdepan Thailand, Laos dan Yaman dalam kejohanan Piala Asia B-17 2023 yang akan berlangsung di Bangkok selepas diundi berada dalam Kumpulan A.

Kejohanan yang akan berlangsung pada 15 Jun hingga 2 Julai nanti menjadi medan terbaik skuad Harimau Malaya B-17 kendalian Osmera Omaro untuk mara sejauh mungkin.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini mengumumkan Bahrain akan kekal selaku tuan rumah bagi edisi 2023 susulan pembatalan kejohanan itu pada 2020 kerana pandemik Covid-19.

 

 

Sesi undian sebentar tadi dilakukan di Swissotel Bangkok Ratchada.

“Pada peringkat ini, setiap pasukan adalah sama dan kuat. Tetapi sudah tentu, kami menentang pasukan Asia Tenggara, dua pasukan yang kami sudah biasa. Semoga kami dapat menggunakan peluang ini untuk terus maju dalam pertandingan itu.

“Saya rasa Thailand paling kuat. Yaman sangat mengagumkan dalam pusingan kelayakan mereka, di mana Yaman mempunyai ramai pemain yang bagus dan menjaringkan banyak gol.

“Sementara Laos, mereka sangat mantap, kuat, dan pasukan yang teratur. Tetapi saya rasa yang paling kuat adalah Thailand,” kata Osmera.

ARTIKEL BERKAITAN : Kelayakan Piala AFC B-17: Osmera belum berpuas hati barisan serangan

Sebagai rekod, Malaysia layak selaku juara Kumpulan B selepas mengungguli pusingan kelayakan di Indonesia, Oktober lalu dengan pencapaian terbaik skuad negara adalah mara sehingga suku akhir edisi 2014.

Skuad bimbingan Osmera itu meraih kemenangan ke 4-0 ke atas Palestin, terikat 1-1 dengan Guam sebelum bangkit menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 dan menutup kempen kumpulan menerusi kemenangan besar 5-1 ke atas Indonesia.

Sebanyak 16 negara bertanding pada kejohanan itu dan empat pasukan terbaik akan layak beraksi di Piala Dunia B-17 2023 di Peru.