TIDAK ada masa yang lebih baik dan sesuai buat Kuala Lumpur City FC untuk merakamkan kemenangan sulung dalam Liga Super 2023 dengan menewaskan musuh setempat, Selangor FC dalam aksi Derbi Lembah Klang pada Jumaat.

KL City yang masih tidak berjaya mencari kemenangan dari lima perlawanan awal liga bagaimanapun tidak tertekan malah menganggap perlawanan bertemu Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras ini adalah masa yang terbaik buat mereka untuk memecah kebuntuan kemenangan.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata ini adalah perlawanan yang dinantikan oleh setiap pemain KL City dan dia yakin aksi 90 minit itu nanti akan menjadi perlawanan tumpuan minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard

“Tidak ada masa yang lebih sesuai untuk kami bertemu dalam derbi ini dan meraih kemenangan pertama. Selangor mempunyai skuad yang baik dan begitu juga kami dan saya yakin perlawanan ini akan menjadi perlawanan terbaik minggu ini,” jelas Stanley ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Perkara yang sama turut dikongsi bekas penyerang Selangor yang kini mewakili KL City, Herlison Caion yang percaya perlawanan ini adalah medan terbaik buatnya mendapatkan jaringan pertama untuk pasukan dan mencipta kemenangan dalam derbi ini.

“Saya bekerja keras untuk mencari gol pertama saya buat KL dalam liga dan perlawanan seterusnya menentang bekas rakan sepasukan adalah peluang terbaik untuk saya membuka akaun jaringan dan membantu pasukan mendapat tiga mata,” kata Caion.

Herlison Caion

Keterujaan ini turut dikongsi pemain pertahanan, Giancarlo Gallifuoco yang mengatakan sebagai pemain tiada apa yang lebih manis dari memenangi perlawanan derbi dan dia mahu pastikan KL City tersenyum selepas tamat 90 minit permainan pada Jumaat.

“Tiada apa yang lebih manis dari memenangi perlawanan derbi. Derbi Lembah Klang ini sangat penting buat kami kerana kami bukanlah pasukan besar berbanding Selangor dan kami mahu menjadi jiran yang bising serta mahukan senyuman yang besar pada Jumaat,” ujarnya.

Derbi Lembah Klang kali ini juga bakal menyaksikan pasukan Selangor kendalian Tan Cheng Hoe akan cuba bangkit selepas dibelasah Johor Darul Ta’zim 4-0 dalam aksi sebelum liga dihentikan untuk memberi laluan kepada skuad kebangsaan.

 

Bagaikan gergasi yang terluka, Selangor sudah pasti mahu menebus kekecewaan kekalahan pertama musim ini dengan menjadikan jiran setempat, KL City sebagai mangsa terbaharu sekali gus mengembalikan semula keyakinan kepada pasukan.

Pemain sayap lincah, Faisal Halim juga sudah berjaya menamatkan kemarau jaringannya apabila menjaringkan gol ketika bersama Harimau Malaya dan dia semakin bersemangat untuk perlawanan Derbi Lembah Klang pertama dalam kariernya di Selangor.

Pastinya pertembungan menarik dan klasik dijangka di Cheras dengan kedua-dua pasukan mahu memastikan kemenangan bagi memperolehi hak sebagai Raja Lembah Klang. Menarik untuk disaksikan.

Rekod lima pertemuan terakhir Kuala Lumpur City dan Selangor:

14 November 2021 (Piala Malaysia)

Selangor 0-2 KL City

18 November 2021 (Piala Malaysia)

KL City 1-0 Selangor

4 Mac 2022 (Liga Super)

KL City 3-3 Selangor

8 Julai 2022 (Piala FA)

Selangor 1-0 KL City

20 Julai 2022 (Liga Super)

Selangor 1-1 KL City