LIVERPOOL berdepan tiga perlawanan besar pada minggu hadapan. Ia bakal menjadi penentu sama ada The Reds boleh menamatkan saingan kelompok empat teratas atau tidak.
Selepas dua minggu bercuti, Liverpool kembali beraksi minggu ini. Rehat panjang itu mungkin telah digunakan oleh pemain Liverpool untuk melupakan dua keputusan buruk berturut-turut menentang Bournemouth dan Real Madrid.
Terutama kekalahan kepada Madrid dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara memastikan Liverpool gagal mencabar kejuaraan. Oleh itu, kekalahan kepada Bournemouth tidak boleh berulang.
Liverpool menanti lawan sengit hujung minggu ini apabila berkunjung ke Stadium Etihad, pada petang Sabtu bertembung saingan mereka, Manchester City.
Perlawanan yang agak sukar memandangkan City juga mempunyai misi untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Jika kalah, maka City berkemungkinan kian jauh tercicir dengan Arsenal.
Manakala, The Gunners juga akan menentang Liverpool pada 9 April di Anfield. Sebelum itu, anak buah Jurgen Klopp melakukan kunjungan ke halaman satu lagi pasukan gergasi iaitu Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi Rabu.
“Sudah tentu minggu ini akan menjadi sangat penting, kerana jika kami dapat mengatasi tiga perlawanan itu, maka kami boleh bangkit dan berharap kami dapat memperoleh keputusan yang baik pada akhir musim ini.
“Tiga keputusan akan menjadi sangat menentukan musim ini, jika kami benar-benar mahu mendapatkannya. Kami akan memberikan yang terbaik dan memenangi tiga perlawanan itu, itulah rancangan kami.
“Pada pendapat saya, pasukan kami sering hilang keyakinan sepanjang musim ini. Tetapi kami boleh lebih yakin jika mendapat keputusan penting dalam tiga perlawanan itu. Ini akan menjadi minggu yang penting buat kami dan semoga kami mendapat keputusan yang baik pada penghujung perlawanan musim,” kata pemain pertahanan Liverpool Trent Alexander-Arnold mengenai kelab itu menerusi laman web rasmi.
Our fixtures coming up in April 📅 pic.twitter.com/1vS2E6rVNZ
— Liverpool FC (@LFC) March 29, 2023
Tiga gergasi dalam tempoh seminggu adalah ujian getir yang perlu dihadapi Liverpool dalam baki 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Situasi semasa, Liverpool masih menghuni di tangga keenam dengan 42 mata daripada 26 perlawanan, perbezaan tujuh mata berbanding Tottenham Hotspur di tangga keempat yang telah bermain 28 kali.