MESKIPUN tidak disandarkan pingat emas pada dirinya, gimnas negara, Ng Chun Chen tetap mahu mencabar pesaing lain dalam perebutan pingat di Temasya Sukan Sea Kemboja, Mei depan.
Berdepan pelbagai dugaan termasuk kecederaan tulang jari awal tahun ini, Chun Chen enggan terlepas aksi lagi terutamanya selepas dia terpaksa melupakan Kejohanan Dunia, di Jerman, Februari lalu.
Menurutnya, kecederaan dan kesakitan yang dirasai mahu diketepikan dan berjanji memberikan sepenuh tenaga dan tumpuan apabila beraksi di Phnom Penh.
“Apabila semakin dekat (temasya), kecederaan yagn ada kena letak tepi dan berlawan sepenuh hati. Sakit macam mana pun, kena lawan juga,” katanya yang mahu memberikan yang terbaik dalam acara palang sejajar.
Pada penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu, Chun Chen menghadiahkan dua pingat emas buat kontinjen Pulau Pinang dalam acara artistik lelaki all-around dan berpasukan.
Menjelang aksi di Kemboja, Chun Cheng mengakui kecederaan dialaminya masih dalam peringkat pemulihan, “Temasya dwitahunan ini adalah medan terbaik buat atlet muda seperti saya.
“Saya kena letak tepi (kecederaan) sebab saya sudah terlepas Kejohanan Dunia… jadi saya nak beraksi di Sukan Sea. Ini kerana Sukan Sea adalah peluang (terbaik) untuk atlet muda naik.
“Bagi saya, Sukan Sea adalah temasya yang baik. Lagipun saya sudah lama berlatih, jadi saya tak nak membazirkan bakat begitu saja,” kata atlet berusia 21 tahun yang juga penuntut Universiti Asia Pasifik dalam jurusan Pengurusan Perniagaan.