SKUAD Futsal Wanita Kebangsaan berjaya meraih pingat gangsa apabila berjaya bangkit dari ketinggalan pada babak pertama untuk mengikat Myanmar 3-3 dalam acara futsal wanita di Stadium Tertutup Ha Nam.
Dua gol menerusi kapten pasukan, Intan Sarah Anisah dan satu gol pada akhir perlawanan oleh Siti Asnidah menyaksikan Malaysia bangkit secara dramatik selepas ketinggalan 1-3 pada babak pertama.
Malaysia hanya memerlukan keputusan seri untuk memenangi gangsa tetapi dipaksa bekerja keras oleh pasukan Myanmar sebelum gol ketika permainan berbaki dua minit merubah segala-galanya.
Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila Intan berjaya menjaringkan gol pembukaan seawal minit pertama sebelum Myanmar membalas dengan tiga gol dan meningkatkan tekanan kepada skuad negara.
Pertukaran taktikal pada babak kedua menyaksikan Malaysia menguasai sepenuhnya permainan dan Intan sekali lagi berjaya menjaringkan gol awal untuk menaikkan semangat rakan-rakan sepasukan.
Pemain-pemain negara menggandakan asakan dengan banyak peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan namun gagal menewaskan ketangkasan penjaga gol Myanmar.
Namun ketika permainan berbaki dua minit, Siti Asnidah menceriakan kem negara apabila menguis masuk bola hantaran Nur Shazreen sekaligus mengikat kedudukan 3-3.
Kedudukan itu kekal dan Malaysia berjaya meraih gangsa selepas tiga perlawanan dengan satu keputusan seri dan dua kekalahan tetapi dibezakan perbezaan jaringan yang mengecewakan Myanmar.