PERSATUAN Sukan Jet Ski Malaysia mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira kilauan, dibawa pulang dari Temasya Sukan Sea Kemboja, Mei depan.
Presidennya Datuk Saffian Omar berkata, percaturan itu dibuat berlandaskan kehadiran pencabar berkelas dunia dan profesional daripada negara pesaing terutamanya Thailand, Indonesia dan Kemboja.
“Sasaran adalah membawa pulang pingat dan sasaran realistik disandarkan kepada Tee Chen Jet atau dikenali sebagai Terry, kerana dia adalah pelumba terbaik yang kita ada,” kata Saffian.
Menurutnya, empat atlet menggalas cabaran negara memburu enam pingat emas yang ditawarkan pada temasya itu termasuk Muhammad Arief Rayhan Mohd Rasis, Norfirdaus Rafie dan Izzah Athirah Ahmad Zuhairi.
“Sebagai persiapan, setiap hari atlet menjalani latihan di darat dan juga fizikal dan kini kita menjalani latihan trek di Tasik Biru, untuk menguji kemahiran situasi sebenar.
“Berbanding cabaran di Sukan Asia lalu, kita menyewa bot jetski sehingga enjin pecah, kali ini kita membeli empat jentera yang menelan belanja lebih RM400,000,” kata Saffian lagi, selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan Sea Kemboja, Sharon Wee.
Menurutnya, Jet ski ke Kemboja di bawah kategori B, akan bertolak ke Phnom Penh pada 5 Mei menerusi jalan darat.
“Ia memakan masa perjalanan empat hari. Kami perlu membawa jentera menggunakan jalan darat bagi menjimatkan perbelanjaan kerana kita tidak mempunyai penaja,” katanya.
Chen Jet akan beraksi dalam dua acara, Rundabout Stock dan Rundabout 1100 Stock, Arif Rayhan (Ski GP), Firdasus (Endurance Rundabout Open) danIzzah (Rundabout 1100 Stock).
Untuk rekod, Sukan Sea Kemboja menjadi temasya pertama serantau menyenaraikan acara Jet Ski untuk dipertandingkan.