FOTO : MFL

SKUAD Negeri Sembilan FC menunjukkan mentaliti kemenangan apabila menafikan kebangkitan Kelantan FC sebanyak dua kali sebelum menang dengan keputusan 4-2 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Turun dengan barisan terbaik, anak-anak buah K.Devan mempamerkan aksi yang bertenaga sejak dari awal dengan Mahalli Jasuli dan Levy Madinda menjadi penjana bahagian tengah Skuad Jang untuk memerangkap barisan pertahanan Kelantan.

Mahalli membuktikan dirinya masih relevan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-16 dan juga menjadi pengumpan kepada gol ketiga pada babak kedua dan layak digelar pemain terbaik perlawanan.

 

Kelantan cuba memberikan tentangan dan berjaya menyamakan kedudukan sebanyak dua kali menerusi Ishmael Akhinade pada setiap babak namun faktor pengalaman menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

K. Devan sekali lagi membuktikan dia adalah pakar taktikal apabila pertukaran pemain yang dilakukan pada babak kedua ketika kedudukan 2-2 membuahkan hasil dan memberikan kemenangan buat Negeri Sembilan.

Kemasukan Che Rashid dan Shahrel Fikri nyata menyemarakkan lagi serangan Negeri Sembilan dan akhirnya Shahrel Fikri berjaya meletakkan skuad Jang dihadapan selepas menolak masuk hantaran Casagrande pada minit ke-76 untuk gol pertama bekas penyerang kebangsaan itu musim ini.

 

Tidak cukup dengan itu, Shahrel Fikri membalas jasa Casagrande apabila dia pula mengumpan kepada penyerang Brazil itu untuk gol keempat pada minit ke-89 sekaligus memberikan kemenangan selesa 4-2 dan kemenangan kedua berturut-turut buat Negeri Sembilan.

Tiga mata penuh ini juga menyaksikan Negeri Sembilan melonjak ketangga ketujuh dengan lapan mata dari lima perlawanan manakala Kelantan pula kini ditangga ke-11 kekal dengan empat mata dari enam perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan, pakej paling memeranjatkan dalam Liga Super musim ini, PDRM FC sekali lagi memungut tiga untuk kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching.

Jaringan tonggak import berpengalaman, Bruno Suzuki sudah cukup untuk memberikan kemenangan dan melonjakkan kedudukan PDRM ketangga keenam dalam carta liga.