SAHAM skuad Harimau Malaya nampaknya terus laku bagai pisang goreng panas apabila ada sahaja pasukan luar mahu menjemput mengadakan aksi perlawanan persahabatan serta kejohanan bertaraf antarabangsa.

Lapor Twitter Asean Football, Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF), Kazi Salahuddin mengesahkan telah menjemput dua pasukan iaitu dari Malaysia dan Arab Saudi ke Kejohanan SAFF tahun ini.

Bagaimanapun, keputusan sama ada menghantar pasukan atau tidak bergantung kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jurulatih kelahiran Ampang, Malaysia yang mengendalikan kelab Liga Perdana Satu Bangladesh, Muktijoddha Sangsad KC, Raja Isa Raja Akram Shah melihat perkembangan terkini ini setidak-tidaknya menunjukkan tahap permainan pasukan kebangsaan bukanlah ‘biasa-biasa’.

 

“Mutu bola sepak Malaysia telah berubah jauh sejak di bawah era Kim Pan-gon dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Banyak pasukan luar tertarik dengan kita. Cumanya, kejohanan SAFF akan berlangsung pada bulan Jun dan akan dimainkan di India.

“Malaysia dah pun tetapkan akan bertemu Solomon dan Yaman. Kini, terserah buat FAM membuat penilaian dan keputusan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Kejohanan edisi ke-14 ini bakal disertai tuan rumah India, Bhutan, Bangladesh, Nepal, Maldives dan juga Pakistan yang dijadual berlangsung di Bengaluru bermula dari 21 Jun hingga 3 Julai 2023.

Kejohanan SAFF, juga dikenali sebagai Kejohanan Asia Selatan (sebelum ini Piala Emas Rantau Asia Selatan), adalah pertandingan utama bola sepak lelaki dalam pasukan bola sepak kebangsaan ditadbir oleh Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan.