KELUHAN ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengenai ketiadaan perkhidmatan sokongan sains sukan secara tetap kepada skuad terjun kebangsaan, akan menjadi keutamaan dalam program Road to Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata dalam RTG, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan segala kekurangan program sedia ada akan ditambah.

“Apa yang dibangkitkan Pandelela itu adalah sebab utama kita wujudkan RTG, iaitu menyelesaikan halangan sedia ada untuk kita bantu atlet berpotensi menang pingat.

“Kita nak berikan sokongan infrastruktur… top up daripada apa yang mereka dapat sekarang. Bagus Pandelela bagi feedback seperti itu dan saya pasti, ini akan menjadi keutamaan Jawatankuasa RTG,” kata Hannah dalam sidang media Direktori Fasiliti Sukan untuk Kemudahan serta Keselesaan Masyarakat, di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya.

Pandelela Rinong meraih pingat Perak Olimpik Rio dan Gangsa Olimpik London.

Semalam, FLASH SUKAN melaporkan Pandelela yang tersenarai dalam Program RTG mahu perkhidmatan sokongan yang dahulunya diberi kepada skuad terjun negara bagi menghadapi temasya Olimpik London (2012) dan Rio (2016) diiberikan semula.

Menurut Pandelela, kumpulan perkhidmatan sokongan dan kepakaran Institut Sukan Negara (ISN) itu berjaya membantunya membawa pulang pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform individu di London dan perak 10m platform seirama di Rio.

Sokongan itu bagaimanapun dakwa Pandelela, tidak diteruskan ketika skuad terjun menghadapi saingan Olimpik Tokyo.

Menurut atlet terjun kelahiran Sarawak itu lagi, khidmat sokongan seperti tukang urut, pakar biomekanik, penganalisa video sewaktu latihan dan pertandingan amat diperlukan apabila atlet diminta mengamalkan sains sukan dan amat janggal jika kepakaran sains sukan tidak disediakan.

Artikel berkaitan: Pandelela harap support service lebih konsisten, “Jangan sekejap ada, sekejap tak ada”