PENGENDALI Perak FC, Datuk Lim Teong Kim merasakan kekalahan 5-0 skuadnya keatas juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah satu kekalahan yang besar dan sukar ditelan kerana cara pemainan yang ditunjukkan para pemainnya.
Dia berkata demikian selepas ramai pihak mengatakan Perak berjaya mengelak dari dibelasah lebih dari lima gol namun bagi Teong Kim ianya adalah kekalahan yang seharusnya boleh dikurangkan defisit jaringannya.
Teong Kim juga sedikit kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil selepas pemain importnya, Seo Seonung mengalami kecederaan dan mungkin terlepas beberapa perlawanan selepas ini.
LIGA SUPER 2023
FT: Perak FC 0-5 Johor Darul Ta'zim
⚽ Hasnul Zaim (GS) 5', Leandro Velazquez 25' (P), 90'+1, Diogo Santo 45', Bergson Da Sila 65'#LigaSuper2023#KejorYobKejor#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/DaKjH40jGW
— Flash Sukan (@FlashSukan) April 4, 2023
“Untuk saya 5-0 adalah kekalahan besar. 3-0 juga besar. Ketika saya bermain saya tidak pernah kalah besar terutama di liga tempatan dan kekalahan ini sangat sukar ditelan. Saya tidak kisah berapa keputusan perlawanan tetapi bagaimana kami bermain.
“Kami tahu sejak awal JDT adalah pasukan yang kuat dan pemain juga sudah diberitahu bagaimana cara mereka bermain dan kami masih melakukan kesilapan mudah yang memberikan mereka peluang jaringkan gol.
“Kesemua gol yang dijaringkan kecuali sepakan percuma itu telah diterangkan kepada pemain bagaimana cara mahu mematahkannya tetapi ianya tidak berlaku. Saya kecewa tetapi ianya adalah berkaitan perbezaan kualiti.
“Mengenai kekasaran ke atas Seo Seonun, saya mahu bertanya mengapa tidak ada kad selepas pemain kami dikasari dan mengalami kecederaan. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana nanti saya akan digantung,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh itu, skuad The Bos Gaurus terpaksa menerima hakikat kekuatan sebenar Harimau Selatan selepas tewas 0-5 hasil jaringan sendiri dan empat lagi jaringan dari Diogo, Bergson dan dua jaringan Leandro Velasquez.