KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari nyata gembira dengan aksi anak-anak buahnya yang dapat mengekalkan identiti permainan dan konsentrasi sepanjang 90 minit perlawanan ketika membelasah Perak 5-0 dalam aksi ketujuh Liga Super 2023.

Ini selepas Harimau Selatan sekali lagi berpesta gol dalam lima perlawanan berturut-turut dan mencipta rekod baharu kelab memenangi tujuh perlawanan awal liga untuk kukuh di kedudukan teratas dengan 21 mata, lima mata mengatasi pencabar terdekat di tangga kedua.

Solari juga hanya memikirkan tentang pasukannya sahaja dan sentiasa mahu meningkatkan tahap kelab terbaik Malaysia itu dengan memperbaiki pasukan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

Esteban Solari

“Hari ini kami berpuas hati kerana kami sememangnya jangkakan permainan yang sukar. Sejak awal ianya bukan mudah dan kami fokus untuk menjaringkan gol awal dan berjaya mengawal perlawanan. Ianya persembahan yang baik dengan lima gol dan kami mahu membina permainan yang berintensiti tinggi.

“Setiap permainan adalah peluang untuk kami bertambah baik dan kekalkan konsentrasi. Bukan mudah jaringkan lima gol dan tanpa bolos kerana bukan mudah kekalkan konsentrasi sepanjang 90 minit dan saya gembira kerana setiap pemain kini lebih fokus dan bersedia untuk menghadapi tekanan dengan semangat yang baik. Ini bukti kami sedang berada di landasan yang tepat.

“Menang tujuh perlawanan awal adalah sejarah baru dalam kelab. Kami bangga tetapi tidak membawa sebarang makna. Kami hanya perlu kekalkan fokus dan bekerja keras kerana perjalanan masih panjang dan perlawanan ini adalah bukti kami berjaya kekalkan identiti dan sentiasa mahu memperbaiki pasukan.

 

Kami hanya melihat dari satu permainan ke satu permainan. Ini adalah mentaliti kami dan sentiasa mahu meningkatkan tahap kelab ini dari sehari ke sehari. Sangat baik untuk menang dan kemenangan ini adalah hadiah kepada pemain yang berkerja keras sejak pra-musim dan mereka perlu pertahanankan untuk perlawanan selepas ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Solari juga yakin Harimau Selatan bakal mendapat cabaran yang lebih sukar selepas ini kerana kebanyakan pasukan akan bermain dengan lebih baik apabila berhadapan JDT namun baginya ini adalah perkara yang baik buat kelab kerana sentiasa mahu menjadi pasukan yang lebih baik.

Dia juga gembira kerana Bergson yang kembali selepas mengalami kecederaan bermain tanpa masalah untuk 45 minit dan berjaya menjaringkan gol yang pastinya akan meningkatkan lagi semangat pemenang kasut emas Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 itu.

“Bergson juga kembali dan bermain 45 minit tanpa masalah dan ianya baik untuk kami selain semua pemain yang diberikan peluang untuk bermain menunjukkan aksi yang baik dan berjaya mengekalkan identiti kelab ini,” tambahnya.

Selepas tujuh perlawanan, JDT berjaya memenangi kesemua tujuh aksi dengan menjaringkan 30 gol dan hanya bolos sekali yang menyaksikan Harimau Selatan kukuh di cengkaman liga dan bakal melayan kunjungan Sang Kenari di laman sendiri pada Ahad.