PENGERUSI Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi tampil memohon maaf kepada para penyokong Perak FC dengan aksi tidak memuaskan sehingga dibelasah 5-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) di Ipoh.

Ujarnya, kelab JDT adalah pasukan gergasi dan memiliki skuad yang sangat kuat setiap posisi.

“Walau bagaimanapun, kekalahan besar tanpa melawan atau memberikan cabaran adalah tidak boleh diterima para penyokong bola sepak Malaysia.

“Malangnya, pasukan kami telah ditimpa dengan banyak kecederaan yang menyebabkan jurulatih tidak dapat menyenaraikan kesebelasan terbaik.

“Pemain utama kami sedang kembali daripada kecederaan, tetapi malam ini kita ditimpa satu lagi kecederaan dengan pemain penyerang, Seo Seonung  yang dikeluarkan pada separuh masa kedua mengalami kecederaan yang dilihat serius menambahkan lagi senarai pemain kecederaan Perak FC,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Skuad depth Perak jelas dilihat banyak kekurangan dan pihaknya akan menilai semula keupayaan skuad semasa jendela perpindahan pertengahan musim.

ARTIKEL BERKAITAN : “5-0 adalah kekalahan yang besar dan sukar ditelan” – Datuk Lim Teong Kim

Sementara itu, Abdul Azim menzahirkan ucapan takziah buat melibatkan penyokong Perak FC yang terlibat kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa selepas perlawanan.

“Saya mewakili pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan para pemain menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi ujian besar ini.

“Sekali lagi, kami menghargai sokongan peminat setia Perak FC yang hadir setiap minggu untuk menyokong The Bos Gaurus.

“Terima kasih penyokong Perak FC dan kita jumpa di KL! ,” katanya.