BELUM pun separuh lagi Liga Super musim ini berlangsung, tekanan untuk mempamerkan aksi konsisten dengan kemenangan sudah pun dirasai, terutamanya kepada ketua jurulatih pasukan.

Bagi pasukan yang masih mencari rentak kemenangan, ia sudah tentu akan menjadi tekanan kepada setiap jurulatih kerana tanggungjawab mempamerkan prestasi baik dengan mata penuh kepada pasukan dan kelab belum terlaksana dengan lancar.

Lebih memedihkan, setiap perlawanan yang diharapkan mampu meraih mata penuh gagal dicapai sekaligus menjadi topik utama perbualan penyokong-penyokong kelab di media sosial.

Pasukan Johor Darul Ta’zim dilihat tidak berdepan dengan tekanan untuk meraih kemenangan konsisten setakat ini.

Namun rata-rata ketua jurulatih pastinya sudah maklum dengan komen-komen yang dilemparkan oleh penyokong selepas berdepan dengan kekalahan demi kekalahan.

Bergelar ketua jurulatih Liga Super bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi untuk mencari kemenangan yang konsisten dan berdepan dengan tekanan dalam serta luar padang.

Bagai bekas pengendali Liga Malaysia dengan pelbagai kelab sebelum ini, B.Sathianathan mengakui setiap jurulatih itu sepatutnya sudah tahu apa hala tuju yang perlu dilakukan.

“Bila kita ditawarkan kerja ini, kita dah tahu mengenai bidang ini. Kalau jadi ketua jurulatih sudah tentu akan ada tekanan. Jurulatih perlu bertanggungjawab di atas padang. Kalau tak boleh nak elak ini (tekanan) memang susahlah.

“Malah seorang jurulatih juga merupakan watak penting untuk kelab yang perlu jaga,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Pasukan Perak FC antara kelab yang masih tercari-cari kemenangan konsisten.

Dalam masa sama, Sathia, 64, yang kini bergelar ‘pundit’ Liga Super musim ini selepas meninggalkan dunia kejurulatihan tahun lalu menambah, seorang ketua jurulatih juga membawa nama kelab di luar padang, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan soalan-soalan wartawan.

“Apa yang penting, kita kena hormati kerja seorang reporter. Apabila mereka tanya, jawablah. Saya sendiri akan jawab apabila ditemuramah oleh wartawan… jawab yang berpatutan.

“Manala saya tidak akan menjawab apa sahaja komen atau pertanyaan daripada netizen di media sosial. Kalau ada komen-komen yang teruk, lebih baik saya tak baca.

“Perlu tahu bahawa komen-komen netizen dan penyokong bola sepak adalah perkara biasa,” jelasnya.