KETUA jurulatih KL City FC, Bojan Hodak menganggap jadual liga menjadikan mereka kurang bernasib baik apabila akan berhadapan pasukan yang baru tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sejak perlawanan ketiga liga, kesemua lawan yang tewas kepada JDT akan bertemu KL City dan selepas tewas besar, mereka pastinya mahu bangkit dan bermain lebih baik ketika berhadapan KL City dan Bojan menganggap ini adalah satu cabaran buat pasukannya.
Bojan turut gembira dengan kemenangan pertama dalam Liga Super dan dia menganggap kejayaan ini dapat menyingkirkan tekanan daripada para pemain dan boleh lebih fokus untuk menghadapi perlawanan selepas ini.
“Bagi saya kita tidak bernasib baik kerana sentiasa bertemu pasukan yang baru dibelasah JDT. Apabila bertemu kami pada perlawanan berikutnya, pihak pengurusan akan memberikan tekanan dan mereka akan bermain bersungguh-sungguh bertemu kami untuk buktikan kekalahan besar itu hanyalah satu hari yang buruk dan kami perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Ini adalah tiga mata yang penting. Kami kurang bernasib baik sebelum ini kerana kami terima dua gol sendiri dan dua penalti. Hari ini kami tidak lakukan kesilapan dan berjaya untuk menang sekaligus menyingkirkan tekanan kepada pemain dan saya harap ini adalah titik tolak kebangkitan KL City,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pengendali Croatia itu juga gembira kerana para pemainnya berjaya mengurangkan kesilapan individu ketika beraksi, satu kelemahan ketara yang menyaksikan mereka kehilangan mata meskipun mendahului dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Saya tidak pernah gembira dengan aksi pasukan walaupun kami menang kerana masih ada kesilapan dan tugas saya sebagai jurulatih adalah meminimumkan kesilapan ini dan mereka tunjukkan perubahan berbanding perlawanan sebelum ini dan berharap para pemain dapat kekalkannya untuk perlawanan selepas ini,” tambahnya.
Jaringan T. Saravanan dan Sean Gan Gianneli sudah cukup untuk memberikan tiga mata pertama buat Kuala Lumpur City dan kini fokus mereka terus terarah kepada aksi bertemu Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Isnin dalam misi mereka mengekalkan momentum kemenangan.