HASRAT peminat sukan Formula 1 tempatan untuk menyaksikan sukan itu kembali ke Malaysia tertutup apabila Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, Hannah Yeoh mengesahkan negara masih belum mampu untuk menganjurkan sukan terpantas dunia itu.

Sebelum ini Litar Antarabangsa Sepang menjadi salah satu venue dalam kalendar F1 sejak 1999 dan kontrak penganjuran berakhir pada 2017 apabila kerajaan ketika itu memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak atas alasan kos.

 

Foto kredit: NSTP

“Mahal. Bayangkan untuk kita naik taraf litar pun kita kena tunggu dana RM20 juta, jadi jangan tanya mengenai F1. Kalau mampu kita akan buat tapi memang kita tidak mampu sekarang ini. Kita akan dana yang untuk keutamaan.

“Dana itu cukup penting buat mereka kerana ekonomi sudah dibuka semula dan akan ada acara antarabangsa yang akan dijalankan bermula April, jadi kita segerakan penambahbaikan.

“Kita percaya dengan adanya infrastruktur yang lengkap dan sempurna, SIC mampu menjadi tempat yang menarik minat penganjur acara tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika Majlis Ihya’ Ramadan anjuran KBS di Litar Antarabangsa Sepang.

Pada majlis tersebut Hannah mengumumkan pemberian dana bernilai RM20 juta kepada Litar Antarabangsa Sepang SIC untuk menaik taraf infrastruktur selepas beberapa tahun tidak mendapat peruntukan daripada pihak kerajaan

Malah turut diumumkan dana tambahan sebanyak RM7 juta untuk program pembangunan pelumba di bawah seliaan SIC sebagai medan untuk mencari bakat-bakat baharu Malaysia dalam sukan permotoran.