SKUAD hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara akan menjalani siri jelajah perlawanan persahabatan di Austrlia pada 9 hingga 19 April ini sebagai persiapan akhir menjelang Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, bulan depan.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 15 pemain lelaki iaitu tiga penjaga gol, empat pemain pertahanan, tiga pemain di bahagian tengah dan lima penyerang serta 14 pemain pasukan wanita iaitu tiga penjaga gol, tiga pertahanan, tiga pemain di bahagian tengah dan lima penyerang bakal mengikuti siri jelajah persabahatan tersebut.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki dalam dewan negara, Mohd Hanip Che Halim menjelaskan siri persahabatan itu akan dijadikan sebagai medan bagi menguji setiap perancangan yang telah diatur dari segi teknikal dan taktikal bagi menghadapi saingan Sukan SEA.
“Saya mahu pemain menterjemahkan setiap percaturan yang telah dibuat di Kuala Lumpur apabila bermain di Perth nanti dan daripada enam perlawanan itu nanti, saya akan menilai di mana tahap pasukan kami sebelum kami ke Kemboja,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad wanita, Mohd Badrul Hisham Osman berkata beliau akan menjadikan aksi persahabatan ini sebagai platform memilih siapa 12 pemain terbaik yang akan ke Sukan SEA selain memberikan lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa kepada pemain.
Temasya Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja akan membuka tirai secara rasmi pada 5 hingga 17 Mei 2023 manakala acara hoki dalam dewan akan dipertandingkan bermula 1 hingga 8 Mei 2023 di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar.