PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan mereka tidak menerima apa-apa tawaran atau jemputan untuk menyertai kejohanan jemputan anjuran South Asia Football Federation (SAFF).
Berita jemputan oleh SAFF yang tersebar luas di media sosial itu terus disangkal FAM menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut mengesahkan Harimau Malaya bakal berhadapan dua perlawanan persahabatan di tempat sendiri.
“Kami tidak menerima apa-apa jemputan untuk menyertai kejohanan jemputan anjuran SAFF kerana pada bulan Jun kita sudah mengatur dua perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Yaman di Malaysia.
Hamidin turut menyatakan venue untuk dua perlawanan ini mungkin dilangsungkan di Johor dan Terengganu serta tidak menolak kemungkinan perlawanan diadakan di Pulau Pinang dan Sabah selepas ini untuk memberi ruang kepada penyokong di negeri lain menonton aksi Harimau Malaya.
“Setakat ini Tunku Mahkota Johor telah menawarkan perlawanan dilangsungkan di Johor dan satu lagi perlawanan berkemungkinan diadakan di Terengganu. Saya sudahpun berhubung dengan Menteri Besar namun saya belum memutuskannya lagi.
“Akan datang kita mahu pergi ke Pulau Pinang, ke Sabah untuk memberi ruang kepada negeri lain sebelum Stadium Nasional Bukit Jalil boleh digunakan semula pada bulan Oktober 2023. Ini dilakukan untuk memberi ruang kepada penyokong di pantai timur, utara untuk bersama dengan Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Dalam perkembangan yang sama, Hamidin turut mengesahkan Harimau Malaya akan beraksi di luar negara pada September dengan tiga negara, Chinese Taipei, China dan Kuwait sudah menyatakan minat untuk bertemu Malaysia dan Kim Pan-gon akan membuat pemilihan akhir pasukan yang bakal ditempuhi.
Hamidin juga menyatakan perancangan perlawanan menentang Jepun terpaksa ditangguh terlebih dahulu kerana kedua-dua pasukan sudah mempunyai lawan masing-masing.
Skuad Harimau Malaya akan menjadikan kesemua perlawanan persahabatan ini sebagai persiapan untuk perlawanan Kejohanan Piala Asia yang bakal berlangsung pada Januari 2024.