NAIB juara musim lalu, Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Super selepas mengalahkan Kuching City 2-0, sebentar tadi.
Turun selaku tuan rumah, TFC bermula agresif melalui percubaan Adisak Kraisorn seawal minit keempat disusuli sepakan percuma Ivan Mamut yang ditepis pada minit ke-13.
TFC dihidangkan peluang terbaik melalui sepakan penalti gara-gara kekasaran ke atas Azam Azmi Murad namun sepakan Habib Haroon (m-19) dari jarak 12 ela sekadar terkena tiang.
Serangan demi serangan Sang Penyu membuahkan hasil pada minit ke-22 setelah Jordan Mintah menyambar hantaran leret Adisak Kraisorn untuk gol pembukaan malam ini.
Jaringan itu menaikkan moral tuan rumah menyaksikan tandukan Argzim Redzovic (m-27) sipi ke sebelah kanan pintu gol sebelum rembatan Mamut menggegar tiang pada minit ke-34.
Aksi selepas rehat terus memihak TFC dengan Mintah meledak melakukan sepakan dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Julian Schwarzer buat kali kedua pada minit ke-53.
Kuching City terpaksa akur pulang tangan kosong selepas sepakan bebas Mohamad Alif Hassan (m-78) ditepis keluar penjaga gol dan kedudukan 2-0 memihak TFC kekal sehingga tamat.