PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain tidak menjangka pasukan kendaliannya akan tewas dengan jaringan yang besar meskipun sedar kualiti yang ada pada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini selepas Kedah dibelasah 0-6 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sekaligus kekalahan kedua dan terbesar skuad Sang Kenari musim ini dan jatuh ke tangga ketiga liga.

Nafuzi turut mengakui ada beberapa pemainnya yang gugup beraksi di sini dan dapat melihat karakter sebenar pemain apabila bermain dalam tekanan menentang pasukan yang baik.

“Saya sendiri tidak jangka kalah besar. Babak pertama saya lihat 1-0 adalah keputusan yang baik tetapi 10 minit pertama babak kedua, kami lepaskan tiga gol mudah hasil kesilapan sendiri dan melemahkan moral pemain untuk bangkit. Kita tahu berdepan JDT bukan mudah dan kesilapan sendiri buatkan kami dihukum dengan kekalahan besar.

“Kami bolos terlalu awal pada separuh masa kedua. Tiga gol berlaku terlalu pantas. Kami tak dapat ‘settle down‘ dengan awal dan kami terlalu banyak memberi ruang kepada lawan.

“Semua unit perlu berfungsi dengan baik. Untuk perlawanan ini saya boleh nampak tahap taktikal untuk berhadapan dengan JDT dan ko perlu berkerja lebih keras untuk sekurang-kurangnya bersaing dengan mereka,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Bekas pengendali Terengganu FC itu juga menolak alasan kehilangan dua tonggak utama sebagai punca kekalahan sebaliknya dia melihat ianya lebih berpunca daripada kesilapan individu yang dihukum dengan mudah oleh lawan.

“Dua pemain itu yang tidak diturunkan itu adalah yang selalu bermain dalam kesebelasan utama. Sedikit menjejaskan rentak tapi bukan itu faktor utama. Pemain lain juga perlu ambil peluang untuk beraksi dan kesilapan individu antara punca kami tewas kali ini.

Dalam perlawanan pada Ahad itu, enam jaringan dari Fernando Forestieri, Feroz Baharudin, Oscar Arribas, Bergson Da Silva, Arif Aiman dan Leandro Velasquez sudah cukup memberikan mimpi ngeri buat Kedah.

Kini Sang Kenari mempunyai tempoh rehat yang panjang kerana sudah tersingkir dari saingan Piala FA dan kini akan menumpukan perhatian kepada persiapan menentang Kuala Lumpur City FC di laman sendiri.