TIGA pingat emas kontinjen negara di Sukan Sea Kemboja, sudah boleh dianggap selamat disimpan pasukan kriket lelaki negara.
Sasaran yang diyakini dalam gapaian itu disuarakan ketua jurulatih, Bilal Asad berdasarkan skuad negara berada di ranking pertama di Asia Tenggara.
Justeru, dia berkata, tiada alasan untuk skuad lelaki negara gagal membawa pulang tiga emas di temasya yang akan berlangsung 5 hingga 17 Mei itu nanti.
Jelas Bilal, tiga emas yang disasarkan itu menerusi pasukan lelaki dalam acara T10, T20 dan 50 over sekali gus mengatasi pencapaian lalu pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang menyaksikan pasukan negara meraih satu emas, sebelum kriket tidak dipertandingkan pada dua temasya selepas itu (2019, 2021).
“Kami sudah menjalani latihan antara dua hingga tiga tahun lalu dengan menyertai banyak kejohanan domestik serta antarabangsa. Kami juga mempunyai barisan pemain berpengalaman.
“Contohnya kapten pasukan, Ahmad Faiz (Mohammad Noor) sudah mempunyai pengalaman beraksi kira-kira 10 tahun. Penolong kapten juga mempunyai pengalaman antara tujuh hingga lapan tahun. Kami juga dibarisi beberapa pemain muda yang begitu dahagakan kejayaan.
“Secara keseluruhan, saya sentiasa percaya kepada proses dan kami sudah bersedia berdepan mana-mana pencabar,” katanya, pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN).
Jelas Bilal, beliau cukup yakin Malaysia mampu meraih tiga emas selepas melihat kepada kekuatan pencabar lain di temasya dwitahunan itu.
“Singapura mungkin mampu memberi cabaran tetapi kami berjaya menewaskan mereka dalam beberapa pertemuan sebelum ini. Saya sangat yakin kami mampu mencapai sasaran tiga pingat emas.
“Saya percaya kepada pasukan ini dan sudah bersama dengan mereka sejak 2012 sehingga 2018. Saya kembali bersama pasukan pada Disember 2019 dan sebab utama saya kembali adalah percaya pasukan ini mampu melangkah jauh,” katanya.
Sementara itu, beliau mensasarkan skuad wanita membawa pulang tiga pingat perak dari Phnom Penh.