PENGENDALI Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid tidak berpuas hati dengan persembahan yang disajikan anak-anak buahnya meskipun meraih kemenangan kedua dalam Liga Super musim ini selepas menewaskan PDRM FC, 4-2 di Stadium Bandaraya pada Ahad.
Manzoor mendapati pemain terlalu banyak memerhatikan bola di dalam padang dan mengharapkan rakan-rakan untuk mengambil bola namun perkara itu dapat diatasi semasa perlawanan sedang berlangsung.
Dia turut memberitahu terutama kepada para penyokong bahawa dalam bola sepak ianya bukan mudah untuk menentang lawan yang bermain dengan 10 pemain terutama dengan lawan yang mempunyai disiplin bertahan yang baik.
“Syukur atas kemenangan ini meskpun dari segi permainan ianya tidak mencapai tahap yang dimahukan. Ini mungkin disebabkan oleh dua faktor iaitu bulan Ramadan dan jadual yang padat. Pemain banyak melihat bola dan mengharap rakan pada babak pertama tetapi pada babak kedua selepas berbincang dengan pemain, mereka cuba lakukan sesuatu.
“Tidak mudah menentang pasukan yang bermain 10 pemain. Ianya seperti mana kami ketika bermain menentang Kuala Lumpur City FC di Cheras dimana kami berjaya mendapatkan gol meskipun kelebihan seharusnya berpihak kepada KL City.
“Kita adalah pasukan yang baharu dibentuk. Ini adalah realiti dan berharap pemain dapat menjaga diri kerana kelab ini bukan kelab besar. Penyokong perlu realistik kerana PDRM adalah pasukan yang dalam momentum baik dan kita perlu hormat mereka,” katanya yang kelihatan sedikit sedih dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas kapten Perlis itu juga sedar dengan jurang yang ada pasukannya dengan pasukan yang ada dalam Liga Super ketika ini namun dia mahu berikan yang terbaik buat kelab dan mahu mengekalkan konsistensi yang mana padanya adalah perkara paling sukar untuk dilakukan.
“Dari lapan perlawanan sebelum ini, kami menentang pasukan yang sering disebut sebagai lima teratas dalam Liga Super. Nampak perbezaan yang ketara tetapi kami tetap lakukan yang terbaik dan cuba untuk kekalkan konsistensi. Ianya bukan perkara yang mudah,” tambahnya.
Penang FC akan terbang ke Kuching untuk bertemu Kuching City FC dalam aksi Piala FA dengan Manzoor dan barisan pengurusan pasukan perlu membuat pilihan sama ada mahu mengejar Piala FA atau kekal fokus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.