KETUA Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim berharap para penyokong dapat bersabar untuk melihat hasil yang cuba dibawa olehnya untuk pasukan itu dan mahu para pemainnya diberikan ruang untuk belajar daripada kesilapan ketika beraksi.

Dia memberi perumpamaan seperti ibu bapa yang mengajar anak-anak dari mula sehingga mereka pandai membuat keputusan sendiri dan semua ini adalah proses yang perlu dilalui oleh setiap pemain.

Teong Kim juga menegaskan dia perlu bertindak mengajar pemain ketika permainan kerana dia tidak mempunyai 10 pemain import atau pemain berpengalaman yang mampu mengubah permainan.

“Memang kita nak menang bukan tak nak, saya minta penyokong untuk bersabar kerana mereka ini pemain muda, kalau saya tanam pokok durian hari ini, kita perlu tunggu tujuh tahun untuk dapatkan buahnya. Semuanya perlukan masa.

“Pemain perlukan masa, jika saya tak berikan mereka masa untuk bermain dengan pemikiran terbuka di mana mereka boleh buat kesilapan, jadi perkembangan mereka tak akan jadi, bola sepak semuanya tentang kesilapan.

“Kalau saya ada 10 pemain import yang berpengalaman, mereka boleh bermain permainan sendiri dan saya boleh duduk diam sahaja. Saya tidak ada pemain seperti ini jadi ianya umpama ibu bapa yang perlu beri tunjuk ajar kepada anak bagaimana untuk melakukan sesuatu supaya satu hari nanti mereka boleh berfikir sendiri, ini adalah proses,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dia turut memuji sikap yang ada pada pemainnya walaupun tidak mendapat keputusan yang dikehendaki kerana mereka sentiasa menunjukkan semangat untuk bangkit setiap kali kalah dan ia adalah petanda mereka mempunyai mentaliti kemenangan.

“Mentaliti kemenangan bukanlah tentang kemenangan, ianya tentang bagaimana anda bangkit dari kekalahan itu. Para pemain sudah tunjukkan mentaliti kemenangan walaupun gagal dapatkan kemenangan dan mereka tidak menyerah malah sentiasa bangkit pada perlawanan seterusnya dengan persembahan yang lebih baik, inilah yang dinamakan ‘rebound mentality‘ yang bagus untuk mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, dia juga meminta maaf secara terbuka sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan temubualnya selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak dan dia tidak pernah berniat untuk menghina dan memperkecilkan sesiapa kerana sememangnya dia tidak dapat mendengar apa yang dikatakan oleh wartawan ketika itu.

Perak mengalami kekalahan keempat berturut-turut kali ini kepada Kuala Lumpur City FC 1-0 tetapi Teong Kim tidak bimbang dengan situasi ini kerana dia sedar KL City adalah lawan yang bukan calang-calang pasukan dan dia masih percaya dengan proses yang dilakukan.