PEMILIK Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mahu semua pihak termasuk pengurusan, kejurulatihan dan pemain dapat lebih serius pada perlawanan akan datang.
Episod dibalun cukup-cukup pasukan heavyweight, Johor Darul Ta’zim (JDT) di kandang lawan harus dijadikan pengajaran bermakna supaya tidak lagi berlaku di masa depan.
Mohd Daud meluahkan dalam coretan terbaharu menerusi Facebooknya turut menggesa Sang Kenari kembali bersungguh-sungguh dan berani menjadi orang yang ada intensiti tinggi.
“Kedah FC tumpas teruk di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Di luar jangkaan saya dan ramai orang. Kedah FC banyak melakukan kesalahaan individu. Sudah pasti cepat dihukum mudah oleh sebuah pasukan yang sentiasa bersedia untuk ‘strike‘.
“Episod sedih ini akan menjadi bahan kajian KDA FC sepanjang tahun. Pada pengamatan saya, Kedah FC tewas dan rebah kerana kesilapan individu, tiada semangat juang yang tinggi dan perasaan kurang yakin serta mungkin ketakutan dengan tekanan di SSI
“Sebagai manusia biasa, semua orang akan melalui proses ini. Takut. Bimbang. Kurang semangat,” katanya.
Namun, katanya, sebagai pemain profesional yang diberikan banyak peluang latihan di dalam serta luar negara, perkara (kekalahan besar) ini tidak sepatutnya berlaku.
“Pemain yang baik adalah pemain yang keras mentalnya khususnya dalam suasana tekanan. Semasa tekananlah baru perwatakan dan profiling sebenar seorang pemain akan terbina dan terserlah.
“Kalau hilang bola, akan dikejar dan dihalang dengan sepenuh jiwa. Bukan sekadar berlari untuk melakukan sesuatu tanpa jiwa dan fizikal yang kuat. Inilah ertinya berjuang sejiwa murni,” katanya.
Justeru itu, Mohd Daud berharap Semoga Kedah FC dapat bangun semula untuk permainan akan datang.
“Kalah dan rebah memang mudah. Nak bangkit semula memang payah. Namun, semua juara dunia bangun dari kekalahan dan kerebahan.
“Saya percaya saya telah buat apa yang termampu dalam serba kekurangan sebagai pemilik baru untuk membina pasukan Sang Kenari, pegawai dan pemain serta penyokong di luar stadium perlawanan.
“Saya telah cuba membina harapan baru kepada Sang Kenari di kala Sang Kenari sudah patah sayapnya. Sekarang masa kepada Sang Kenari pula untuk memberikan yang terbaik bagi mengambil semangat daripada kekalahan yang pedih ini. Time of action,” katanya.